QABIL Irfan Tak Goyah, Bangkit Dominasi Sesi Kelayakan Di Jerez

Pelumba pasukan SIC GYRD Racing, Qabil Irfan tampak sedikit bergelut pada sesi Latihan apabila sekadar mencatatkan masa ke-11 terpantas sekali gus memaksanya beraksi dalam sesi Kelayakan 1 (Q1) buat kali pertama pada musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/4/20261 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan mempamerkan kebangkitan sensasi apabila melakukan catatan terpantas pada sesi Kelayakan 2 (Q2) Kumpulan B, Pusingan 3 Moto4 European Cup (Moto4 EC) 2026 di Litar Jerez, hari ini.

Pelumba pasukan SIC GYRD Racing berusia 14 tahun itu yang tampak sedikit bergelut pada sesi Latihan apabila sekadar mencatatkan masa ke-11 terpantas sekali gus memaksanya beraksi dalam sesi Kelayakan 1 (Q1) buat kali pertama pada musim ini.

Begitupun, situasi itu langsung tidak mematahkan semangat juang pelumba muda kelahiran Terengganu itu apabila mencatatkan masa terpantas di Q1 Kumpulan B menerusi catatan 1:49.638s untuk mara ke Q2.

Dan Qabil terus membuktikan kualitinya apabila mencatatkan masa 1 minit 49.397 saat (s) pada sesi Q2 yang juga catatan terpantas Kumpulan B.

Tidak dapat diketahui sama ada permulaan perlahan pada sesi awal itu adalah sebahagian daripada strategi pasukan ataupun masalah pelarasan jentera yang berjaya diatasi, keputusan memberangsangkan hari ini dijangka meletakkan Qabil di barisan hadapan pada perlumbaan esok.

Selepas 2 pusingan, Qabil masih belum merasai nikmat berada di podium Moto4 EC dengan keputusan terbaiknya adalah di tempat ke-4.

Qabil ketika ini menghuni tangga ke-6 carta kedudukan pelumba dengan mengumpul keseluruhan 26 mara.