QABIL Irfan Tak Sabar 'Layan' Catalunya

Pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan tampak cukup teruja dan bersedia untuk mengharungi Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol, minggu ini dengan status sebagai pendahulu kejuaraan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/19/20251 min read

PENDAHULU carta kedudukan pelumba ESBK Talent Cup 2025, Qabil Irfan Azlan tampak cukup teruja dan bersedia untuk mengharungi Pusingan 2 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) di Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol, minggu ini.

Pelumba berusia 13 tahun itu tiba di Eropah pada minggu lalu sebagai persiapan menghadapi kempen selanjutnya di kejuaraan pembangunan bakat dunia itu di mana Qabil ketika ini sedang memimpin carta kejuaraan.

Pada Pusingan 1 di Jerez, Sepanyol pada April lalu, pelumba pasukan Frando Racing VHC Team Liqui Moly menyapu bersih kemenangan dalam kedua-dua perlumbaan ditawarkan di litar berkenaan.

"Saya pernah memenangi perlumbaan di sini pada musim 2024. Litar ini memang menarik bagi saya kerana terdapat banyak selekoh berkelajuan tinggi," kata Qabil.

"Saya sempat menjalani latihan bersama Riders Formation sebagai persiapan. Saya yakin untuk perlumbaan kali ini dan berharap dapat kekalkan momentum seperti perlumbaan lepas serta memberikan yang terbaik."

Pencabar tedekat pelumba negara itu adalah pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez yang terpaksa berpuas hati menamatkan saingan selaku naib juara dalam kedua-dua perlumbaan ditawarkan manakala seorang lagi pelumba Sepanyol, Andres Garcia di tempat ketiga.