QABIL Irfan 'Takluk' Qatar
Memulakan perlumbaan di petak ke-2, Qabil Irfan yang berusia 14 tahun tampil dengan persembahan cukup baik dengan menghuni kelompok depan malah beberapa kali memimpin perlumbaan yang berlangsung cukup sengit
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/7/20261 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan memastikan lagu Negaraku berkumandang di Qatar selepas dinobatkan sebagai juara Perlumbaan 1 Pusingan 6 Moto4 Asia Cup (Noto4 AC) 2026 di Litar Lusail, Qatar, hari ini.
Memulakan perlumbaan di petak ke-2, pelumba negara berusia 14 tahun itu tampil dengan persembahan cukup baik dengan menghuni kelompok depan malah beberapa kali memimpin perlumbaan yang berlangsung cukup sengit.
Begitupun, insiden yang berlaku ketika perlumbaan berbaki 3 pusingan yang turut membabitkan pelumba negara, Naqib Rifqi Zulhelmi menyaksikan kibaran bendera merah dikibarkan sekali gus menamatkan perlumbaan.
Dan hasil daripada penelitian penganjur, keputusan akhir menyaksikan Qabil akhirnya dinamakan sebagai juara dengan pelumba Indonesia, Resky Yusuf di tempat ke-2 manakala pelumba Jepun, Waku Kunitate melengkapkan kedudukan podium.
Kemenangan pada perlumbaan waktu malam di Lusail pastinya cukup bermakna buat Qabil yang sebelum ini terpaksa berehat hampir 2 bulan selepas mengalami kecederaan patah tulang tibia dan fibula kaki kiri.
Pelumba kelahiran Terengganu itu berdepan kecederaan berkenaan selepas terbabit dalam kemalangan ketika sesi Latihan Bebas 2 (FP2) saingan Moto4 European Cup di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol, awal September lalu.
Dia kemudian membuat kepulangan semula sensasi di laman sendiri pada minggu lalu apabila terus meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Kejayaan di Qatar turut menyaksikan Qabil melonjak dua anak tangga dalam carta kedudukan pelumba Moto4 AC 2026 dari tempat ke-4 dengan mengumpul 123 mata.

