QABIL Irfan Tampil Dominasi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/28/20251 min read


SEPERTI dijangka, pelumba berbakat, Qabil Irfan Azlan menampilkan dominasi penuh pada Pusingan 1 FIM MiniGP Malaysia 2025 yang berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang, hujung minggu lalu.
Beraksi dalam kelas perdana MiniGP 190, pelumba kelahiran Terengganu itu sekali lagi seperti tidak mampu dicabar apabila menjuarai kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan.
Selepas melepasi garisan penamat dengan kelebihan 5.714 saat (s) di depan pemenang tempat kedua, Malek Ridha dari Selangor, Qabil melakukan jurang lebih jauh pada Perlumbaan 2 dengan kelebihan 13.464s di depan pencabarnya Adam Aiman.
Adam pada Perlumbaan 1 menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan Qayyim Razin melengkapkan podium pada Perlumbaan 2.
Sementara itu, posisi pemenang kelas MiniGP 160 bertukar tangan. Selepas Nufayl Darwisy dari Kelantan menjuarai Perlumbaan 1, adik kepada Qabil, Qasha Irfan Azlan merangkul kemenangan pada Perlumbaan 2.
Qasha dalam pada itu turut menamatkan Perlumbaan 1 di tempat ketiga dengan Al-Adam Mikail dari Pahang meraih tempat kedua. Kedudukan podium Perlumbaan 2 pula diisi Al-Adam dan pelumba China, Huang Tingnuo.
Sementara itu, tiada catatan podium diperoleh pelumba negara dalam kelas perlumbaan SIC Ohvale Junior dengan kedua-dua perlumbaan dimenangi pelumba Indonesia menerusi Alvin Keanu (Perlumbaan 1) dan Arby Thoriq (Perlumbaan 2).
Dalam pada itu, perlumbaan pembukaan RCB MiniMoto 2025 berjaya dimenangi pelumba Selangor, Fayyadh Anaqi.
Fayyadh begitupun disaing sengit seorang lagi pelumba Selangor, Adam Harris dan melengkapkan kedudukan podium adalah Fateh Iskandar juga dari Selangor.
Keputusan
MiniGP 190
Perlumbaan 1
Qabil Irfan (Terengganu), 16 minit (m) 27 saat (s)
Malek Ridha (Selangor) +5.714s
Adam Aiman (Selangor) +9.636s
Perlumbaan 2
Qabil Irfan (Terengganu) 18m 02.487s
Adam Aiman (Selangor) +13.464s
Qayyim Razin (Selangor) +14.589s
MiniGP 160
Perlumbaan 1
Nufayl Darwisy (Kelantan) 15m 04.406s
Al-Adam Mikail (Pahang) +0.127s
Qasha Irfan (Terengganu) +0.155s
Perlumbaan 2
Qasha Irfan (Terengganu) 15m 03.993s
Al-Adam Mikail (Pahang) +0.032s
Huang Tingnuo (China) +10.241s
SIC Ohvale Junior
Perlumbaan 1
Alvin Keanu (Indonesia) 11m 41.120s
Arby Thoriq (Indonesia) +4.520s
Kou Wenrui (China) +4.602s
Perlumbaan 2
Arby Thoriq (Indonesia) 14m 42.288s
Alvin Keanu (Indonesia) +0.058s
Lin Jingyuan (China) +9.480s
RCB MiniMoto
Fayyadh Anaqi (Selangor) 11m 47.414s
Adam Harris (Selangor) +0.094s
Al Fateh Iskandar (Selangor) +12.002s
