QABIL Irfan Tebus Hampa Di Estoril
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/1/20241 min read


PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan menebus kehampaan yang diharunginya semalam dengan menamatkan Perlumbaan 2 Moto4 Pusingan 5 ESBK 2024 di Estoril, Portugal sebagai naib juara, hari ini.
Memulakan perlumbaan di barisan hadapan, Qabil Irfan dari Terengganu turut hampir menamatkan aksi sebagai juara sebelum dipintas di saat akhir oleh pelumba Sepanyol, Eric Ruz.
Pada Perlumbaan 1 semalam, pelumba berusia 12 tahun itu mengalami kemalangan yang didakwa selepas dihimpit oleh Ruz.
Dan sekalipun kembali bangkit untuk meneruskan perlumbaan, hanya kedudukan ke-16 berjaya diperoleh Qabil yang beraksi bersama pasukan VHC Frando Racing.
Kegembiraan berganda di garaj pasukan VHC Frando Racing apabila seorang lagi pelumba pasukan itu, Eneko Osorio melengkapkan podium.
