QABIL Irfan Tekad Tamat Kemarau Kemenangan

Kali terakhir Qabil Irfan merasai nikmat kemenangan adalah pada Perlumbaan 1 Pusingan empat di Litar Navarra, Sepanyol pada Julai lalu dan sejak itu, prestasinya sedikit menurun termasuk dua kali menamatkan saingan di luar podium

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

9/10/20251 min read

Qabil Irfan Azlan
Qabil Irfan Azlan

MESKIPUN sudah tiga perlumbaan tidak bergelar juara, pelumba muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan masih mendahului carta kedudukan pelumba ESBK Talent pada Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2025.

Justeru, menuju aksi Pusingan 6 kejuaraan itu yang dijadual berlangsung di Litar Estoril, Portugal, minggu ini pelumba berusia 13 tahun itu memasang tekad untuk kembali menaiki podium sebagai pemenang.

Sebagai info, kali terakhir pelumba kelahiran Terengganu itu merasai nikmat kemenangan adalah pada Perlumbaan 1 Pusingan 4 di Litar Navarra, Sepanyol pada Julai lalu.

Tetapi sejak itu, prestasinya sedikit menurun termasuk dua kali menamatkan saingan di luar podium.

Bagi memastikan misinya di Portugal tercapai, Qabil bersama bapanya Azlan Abd Rahman tidak pulang ke tanah air selepas tamat Pusingan 5 juga di Navarra, sebaliknya gigih menjalani latihan intensif bersama pasukan Riders Formation (RF) di Sepanyol.

Bersama RF, Qabil menjalani persiapan rapi termasuk berlatih bersama pelumba-pelumba Sepanyol di bawah bimbingan jurulatih Sergio Mora.

"Di RF Motorsport, saya menjalani latihan dengan pelumba-pelumba Sepanyol yang lain. Saya sudah bersedia untuk Pusingan enam di ESBK ini dan berharap boleh buat yang terbaik.

"Dalam carta kejuaraan, saya masih di tempat pertama selepas Pusingan 5. Jadi, saya berharap dapat kekalkan kedudukan sebagai pendahulu selepas pusingan ini berakhir," katanya.

Qabil berkata dia akan memberikan persembahan terbaik di Portugal.

"Saya berharap segalanya berjalan dengan lancar. Insya-Allah, saya akan berusaha sehabis baik dan memburu gelaran juara pada kali ini. Doakan kejayaan saya," katanya.

Selain itu, semangat Qabil turut membara selepas berpeluang mengunjungi Litar Catalunya untuk menyaksikan perlumbaan Grand Prix Catalan di Barcelona baru-baru ini.

Di Catalan, Qabil bukan berada di tempat duduk penonton tetapi di paddock dan berpeluang bertemu dengan beberapa nama besar dalam dunia MotoGP, termasuk legenda seperti Dani Pedrosa dan Jorge Lorenzo yang pastinya memberikannya inspirasi.