QABIL Irfan Tempat Ke-2 Perlumbaan 1 ESBK Talent Aragon

Qabil Irfan Azlan terus mencipta kejayaan di pentas antarabangsa apabila menamatkan Perlumbaan 1 Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) dalam kategori ESBK Talent di MotorLand Aragon, sepanyol sebagai naib juara

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/28/20251 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan, terus mencuri tumpuan di pentas antarabangsa apabila menamatkan Perlumbaan 1 Pusingan 3 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) dalam kategori ESBK Talent di MotorLand Aragon, sepanyol sebagai naib juara, hari ini.

Bermula di petak utama, pelumba berusia 13 tahun itu begitupun hanya dipisahkan 0.01 saat daripada juara yang juga pelumba tuan rumah, Enzo Zaragoza dalam perlumbaan yang berlangsung sengit sehingga ke garisan penamat itu.

Seorang lagi pelumba Sepanyol, Izan Rodriguez melengkapkan kedudukan podium.

Kejayaan itu meneruskan momentum cemerlang Qabil selepas pelumba kelahiran Terengganu itu prestasi memberangsangkan di Catalunya, Barcelona, Sepanyol pada minggu lalu yang menyaksikannya meraih tempat kedua dalam Perlumbaan 1 dan muncul juara dalam Perlumbaan 2.

Selepas lima perlumbaan, keputusan yang diperoleh membolehkan Qabil untuk terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pendahulu carta kejuaraan keseluruhan kelas itu setakat ini.

Seperti di Catalunya, perlumbaan di Aragon turut berlangsung dalam cuaca panas dan kering, dengan suhu mencecah lebih 35 darjah selsius.

Tetapi ia tidak menghalang Qabil yang mewakili Frando Racing VHC Team Liqui Moly untuk menunjukkan kematangan luar biasa dalam pengurusan tayar dan strategi perlumbaan, membuktikan kemampuannya bersaing dengan pelumba-pelumba terbaik dari seluruh dunia yang beraksi di ESBK Talent.

Sekalipun pertama kali berlumba di Aragon, Qabil begitupun sudah menjalani latihan persendirian selama dua hari di litar ini sebelum perlumbaan nyata memanfaatkan pengalaman itu untuk menyesuaikan gaya tunggangannya.

Selain latihan intensif bersama jurulatih profesional di Tarragona, Qabil turut mendapat bimbingan daripada seorang lagi pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli terutama dalam aspek teknikal.