QABIL Irfan Tempat Ke-4 Perlumbaan 2 Di Navarra
Persaingan yang makin sengit menyaksikan Qabil Irfan Azlan buat pertama kalinya menamatkan perlumbaan ESBK Talent pada musim ini di luar kedudukan podium apabila melepasi garisan penamat Perlumbaan 2 di Navarra, Sepanyol
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
7/20/20251 min read


PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan buat pertama kali menamatkan perlumbaan ESBK Talent pada musim ini di luar kedudukan podium apabila melepasi garisan penamat Perlumbaan 2 di Navarra, Sepanyol di tempat ke-4, hari ini.
Begitupun, keputusan itu tidak merencatkan kedudukan pelumba berusia 13 tahun itu sebagai pendahulu keseluruhan ESBK Talent selepas empat pusingan.
Pada Perlumbaan 1, semalam kelahiran Terengganu itu cemerlang meraih kemenangan yang juga kemenanangan keempatnya pada musim ini. Selain itu, tiga lagi perlumbaan ditamatkan pelumba itu sebagai naib juara.
Memulakan perlumbaan di petak utama susulan kemenangan semalam, Qabil bermula dengan baik apabila dengan memimpin perlumbaan di awal pusingan sebelum diberikan tekanan yang menyaksikan lima pelumba bersaing di kelompok utama.
Pada pertengahan perlumbaan, Qabil turut dilihat agresif dengan memintas dan mengetuai perlumbaan malah hampir mencipta jurang dengan pelumba lain, namun berjaya 'ditangkap' kelompok utama.
Kekal di tempat ke-4 dalam kelompok berkenaan, cubaan saat akhir Qabil untuk meraih podium tidak berjaya dan terpaksa berpuas hati di tempat ke-4.
Secara keseluruhan, Qabil ketika ini mengetuai carta keseluruhan selepas mengumpul keseluruhan 173 mata.
Angka itu menyaksikan Qabil memiliki klebihan 49 mata daripada pelumba di tempat ke-2, Izan Rodriquez (Sepanyol).
