QABIL Irfan Tempat Ke-5 Perlumbaan Terakhir ESBK Talent 2025

Tampil bergaya dengan jentera dan helmet kemasan berwarna emas bagi perlumbaan terakhir, Qabil yang sudah pun mengesahkan gelaran keseluruhan lebih awal tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/9/20251 min read

TIADA kedudukan sekurang-kurangnya di kelompok podium diraih pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan pada perlumbaan menutup kempen ESBK Talent Cup 2025 selepas menamatkan Perlumbaan 2 di Litar Jerez, Sepanyol di tempat kelima, hari ini.

Tampil bergaya dengan jentera dan helmet kemasan berwarna emas bagi perlumbaan terakhir, Qabil yang sudah pun mengesahkan gelaran keseluruhan lebih awal tetap mempamerkan semangat juang yang tinggi sepanjang perlumbaan.

Bermula dari petak ketiga, pelumba berusia 13 tahun itu sentiasa berada dalam kelompok utama perlumbaan malah memberikan saingan sengit untuk merebut kedudukan di podium.

Begitupun, perlumbaan yang dijadualkan berlangsung sebanyak 12 pusingan terpaksa dihentikan seketika selepas empat pusingan apabila bendera merah dikibarkan susulan kemalangan.

Dan apabila perlumbaan dimulakan semula dengan hanya enam pusingan, Qabil kela dengan momentum malah beberapa kali mendahului saingan namun cabaran sengit dalam kelompok utama menyaksikan kedudukan pendahulu saling bertukar.

Pada pusingan terakhir, nasib jelas tidak menyebelahi Qabil apabila percaturannya tampak tidak menjadi yang menyaksikan perbezaan masa antara pemenang dan pelumba di tempat ke-11 hanya kurang daripada satu saat.

Pelumba tuan rumah, Iker Rodriguez menjuarai perlumbaan dengan tempat kedua menjadi milik Andres Garcia, manakala David Peris melengkapkan kedudukan podium.

Qabil pada Perlumbaan 1 semalam turut mempamerkan tunggangan yang membanggakan apabila berjaya menamatkan saingan di tempat ketiga walaupun terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-17.

Sebagai rekod, Qabil mengesahkan gelaran juara keseluruhan ESBK Talent Cup 2025 pada pusingan keenam di Litar Estoril, Portugal pada September lalu, di mana dia cemerlang memenangi kedua-dua perlumbaan.