QABIL Irfan 'Terbang' Ke Sepanyol Ahad Ini, Beraya Di Eropah!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/8/20241 min read

PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan akan berkelana ke Eropah, Ahad ini sebagai persiapannya menghadapi Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 dalam kelas Moto4.

Juara FIM MiniGP Dunia 160 cc 2023 itu dijadual beraksi bersama pasukan Sepanyol, VHC Frando Racing dan berlumba semusim penuh dalam kejuaraan yang membabitkan pelumba berusia 12 hingga 14 tahun itu.

Qabil yang ditemani bapanya, Azlan Abd Rahman dan dijadual mengikui ujian pra-musim pada 16 dan 17 Mac di Litar Jerez dan akan kekal di Sepanyol sehingga Pusingan Pertama di Litar Jerez (6 & 7 April).

Justeru berdasarkan jadual perlumbaan dan perancangan berkenaan, ini bermakna Qabil dan bapanya akan menjalani ibadah berpuasa dan menyambut Aidilfitri tahun ini di Eropah.

Seperti diketahui, Qabil ketika ini berstatus atlet sepenuh masa dalam Program Pembangunan Sukan Permotoran yang dikelolakan oleh Litar Antarabangsa Petronas Sepang (SIC).

Untuk musim ini, perlumbaan Moto4 ESBK yang menggunakan jentera 'Fullframe' dengan enjin bersesara 150 cc dan rim 17 inci dijadual berlangsung di litar-litar di Sepanyol dan Portugal.

Secara keseluruhan, kejuaraan Moto4 ESBK 2024 akan berlangsung sebanyak 7 pusingan.

Selain Moto4 di ESBK 2024, Qabil juga akan turut serta dalam Kejuaraan FIM MiniGP Malaysia kategori 190 cc musim ini.

Begitupun, pelumba kelahiran Terengganu itu sudah pun memperoleh slot ke pusingan final FIM MiniGP Dunia di Sepanyol tahun ini berikutan kejayaan yang diraihnya tahun lalu.

Berikut adalah jadual perlumbaan Moto4 ESBK 2024:

  • Ujian Pra-Musim | 16 & 17 Mac | Litar Jerez, Sepanyol

  • Pusingan 1 - 6 & 7 April, Litar Jerez, Sepanyol

  • Pusingan 2 - 1 & 2 Jun, Litar Valencia, Sepanyol

  • Pusingan 3 - 6 & 7 Julai, Litar Estoril, Portugal

  • Pusingan 4 - 27 & 28 Julai, Litar Catalunya, Barcelona, Sepanyol

  • Pusingan 5 - 31 Ogos & 1 September, Litar Estoril, Portugal

  • Pusingan 6 - 26 & 27 Oktober, Litar Navarra, Sepanyol

  • Pusingan 7 - 2 & 3 November, Litar Jerez, Sepanyol