QABIL Irfan Teruja Pengalaman Ujian Pra-Musim ESBK 2024 Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/18/20241 min read

PELUMBA cilik negara, Qabil Irfan Azlan akhirnya menguji jentera Moto4 yang bakal digunakan Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 pada sesi ujian pra-musim kejuaraan berkenaan di Jerez, Sepanyol, minggu lalu.

Dalam sesi ujian pra-musim yang berlangsung selama dua hari itu, pelumba kelahiran Terengganu itu merakamkan catatan yang boleh dianggap memuaskan terutama berada di kelompok 10 terbaik.

Sebagai info, kempen Moto4 di ESBK 2024 disertai pelumba-pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dari pelbagai negara antaranya Itali, Perancis, Amerika Syarikat dan Switzerland.

Jentera yang digunakan adalah jenis prototaip sama seperti Moto3 dengan dua casis digunakan iaitu Beon dan Corse. Qabil yang berlumba bersama pasukan VHC Frando Racing menggunakan casis Corse.

Dari sudut trenkuasa, jentera Moto4 menggunakan enjin daripada Honda CRF 150 yang menghamburkan kuasa sekitar 36-37 Hp.

Selepas mengharungi empat sesi ujian di Jerez yang menjadi antara destinasi perlumbaan tetap MotoGP dan WorldSBK, catatan yang dilakukan Oleh Qabil memang boleh dipuji dan terus menunjukkan kemajuan.

Menurut Qabil yang menggunakan nombor 4, dia memperoleh banyak pengalaman baharu serta belajar mengenai jenteranya daripada sesi ujian di Jerez.

Antaranya adalah dari sudut pelarasan jentera di mana juara dunia siri FIM MiniGP 2023 itu melakukan banyak pelarasan terhadap jenteranya, belajar melakukan catatan masa terbaik, mempelajari tunggangan di trek besar, mengikuti pelumba depan dan pelbagai lagi.

Selain itu, Qabil juga dilihat berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana pasukannya menyediakan jentera sebelum perlumbaan.

Qabil dalam pada itu mengucapkan terima kasih atas peluang yang diberikan kepadanya terutama daripada SIC Racing, ZK Racing dan Terengganu Inc untuk beraksi di ESBK pada musim ini dan mengharapkan sokongan serta doa rakyat Malaysia.

Berikut adalah catatan masa dan kedudukan Qabil ketika ujian pra-musim Moto4 ESBK 2024

Sesi 1

  • 2 minit 04.387 saat, p4 (+0.621s)

Sesi 2

  • 2 minit 03.020 saat, p5 (+1.289s)

Sesi 3

  • 2 minit 03.943 saat, p10 (+1.544s)

Sesi 4

  • 2 minit 02.972 saat, p7 (+0.476s)