QABIL Irfan Terus Kibar Jalur Gemilang Di Estoril

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/7/20241 min read

PELUMBA muda berbakat negara, Qabil Irfan Azlan sekali lagi mengibarkan Jalur Gemilang di podium ESBK 2024 apabila menamatkan Perlumbaan 2 Moto4 di Estoril, Portugal, hari ini selaku naib juara.

Memulakan perlumbaan di petak ke-3, pelumba kelahiran Terengganu itu jelas tampak makin selesa dengan jenteranya dan boleh dikatakan hampir memimpin keseluruhan perlumbaan.

Tetapi laluan lurus menuju garisan penamat menyaksikan pelumba berusia 12 tahun itu akhirnya dipintas di saat akhir dan terpaksa berpuas hati selaku naib juara.

Kemenangan di Estoril berjaya diperoleh pelumba Itali, Leonardo Casadei.

Dan oelumba yang memenangi Perlumbaan 1 semalam, Enzo Zaragoza melengkapkan podium.

Bagi Qabil Irfan, ia adalah pentas podium kedua berturut-turut olehnya di Portugal selepas turut menamatkan Perlumbaan 1 di tangga ketiga.

Sebagai info, pelumba pembangunan bakat ZK Racing itu beraksi bersama pasukan VHC Frando Racing menggunakan casis Corse dan kedua-dua pemenang di Portugal menggunakan casis jenis Beon dari pasukan IgaxTeam.

Qabil Irfan sebelum ini tiba di Eropah lebih awal untuk menjalani ujian di Barcelona, Sepanyol pada minggu lalu sebelum ke Estoril.

Pada aksi Pusingan 2 di Valencia, Sepanyol bulan lalu, Qabil Irfan meraih tempat ke-4 pada Perlumbaan 1 dan ke-7 pada Perlumbaan 2.