QABIL Irfan Terus Kibar Jalur Gemilang Di Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/3/20241 min read

PELUMBA muda negara, Qabil Irfan Azlan hanya dipisahkan dengan 0.020 saat (s) dengan pemenang Perlumbaan 2 Moto4 pusingan penutup tirai Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 yang berlangsung di Jerez, Sepanyol.

Tiba dengan motivasi tinggi selepas meraih tempat ketiga pada Perlumbaan 1, Qabil yang berlumba bersama pasukan VHC Frando Racing tampil dengan persembahan cukup baik.

Beberapa kali memimpin perlumbaan, pelumba kelahiran Terengganu itu terpaksa berpuas hati melepasi garisan penamat di tempat kedua di belakang Enzo Zaragoza.

Melengkapkan kedudukan podium adalah seorang lagi pelumba Sepanyol, Eric Ruz.

Keputusan menyaksikan Qabil menamatkan saingan keseluruhan di kedudukan ke-4 selepas mengumpul 181 mata.

Zaragoza muncul juara keseluruhan selepas mengumpul 282 mata diikuti Ruz (219) dan Leonardo Casadei ketiga dengan 218 mata.

Pertama kali berlumba di pentas Moto4 ESBK, Qabil sebelum ini berjaya menjuarai satu perlumbaan pada Pusingan 4 yang berlangsung di Barcelona pada Julai lalu.

Sedikit info mengenai Moto4, kejuaraan menggunakan jentera jenis prototaip sama seperti Moto3 dengan pelumba diberi pilihan untuk menggunakan dua jenis casis Beon dan Corse bergantung kepada pasukan.

Dan pasukan yang disertai Qabil, VHC Frando Racing menggunakan casis Corse.

Mengulas trenkuasa, jentera Moto4 menggunakan enjin daripada Honda CRF 150 yang menghamburkan kuasa sekitar 36-37 Hp.