QABIL Irfan Yakin Mampu Beri Saingan Di Pusingan 1 Moto4 ESBK 2024 Jerez

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/3/20241 min read

PELUMBA cilik berbakat negara, Qabil Irfan Azlan yakin dengan kemampuan jenteranya untuk memberi saingan di Pusingan 1 perlumbaan Moto4 Kejuaraan Superbike Sepanyol (ESBK) 2024 yang dijadual berlangsung di Jerez, hujung minggu ini.

Menurut penyandang juara dunia FIM MiniGP 2023 itu, persiapannya bagi menghadapi perlumbaan berkenaan boleh dikatakan cukup baik sekalipun perlu menjalani latihan ketika bulan Ramadan.

Tiba di Eropah bulan lalu bersama bapanya, Qabil akan berlumba bersama pasukan VHC Frando Racing dan menunggang jentera Moto4, jentera lumba jenis prototaip yang sama seperti Moto3.

"Persiapan sudah lengkap," kata Qabil. "Saya berlatih pada setiap hari, di sebelah petang dan turut melakukan latihan kecergasan. Saya juga berlatih seperti biasa ketika Ramadan sebagai persiapan untuk menghadapi Jerez.

Mengulas lanjut, pelumba kelahiran Terengganu itu berkata latihan yang diharunginya sebelum ini, juga di Jerez cukup membantu.

"Sebelum ini, saya pernah menjalani ujian di Jerez. Jadi, saya yakin dengan kemampuan jentera saya dan saya juga mempunyai rakan sepasukan yang laju.

"Apapun, masih banyak yang perlu saya belajar. Untuk perlumbaan kali ini, saya akan cuba bersaing di kelompok hadapan dan cuba untuk menang."

Kempen Moto4 di ESBK 2024 disertai pelumba-pelumba berusia 12 hingga 14 tahun dari pelbagai negara antaranya Itali, Perancis, Amerika Syarikat dan Switzerland.

Sebagai info, jentera Moto4 yang digunakan Qabil menggunakan casis jenis Corse dan dari sudut trenkuasa, ia dipadankan dengan enjin daripada Honda CRF 150 yang menghamburkan kuasa sekitar 36-37 Hp.