QABIL, Naqib, Qayyim Serlah Potensi Pada Ujian Rasmi Moto4 Asia Cup 2026 Di Sepang
Juara ESBK Talent musim lalu, Qabil Irfan muncul antara pelumba terpantas dalam ujian rasmi pra-musim Moto4 Asia Cup 2026 dengan catatan kedua terbaik keseluruhan sekali gus memperlihatkan konsistensi dan kemampuannya
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/10/20261 min read


SESI Ujian Rasmi Moto4 Asia Cup 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang PETRONAS (SIC) bermula, semalam dan berakhir hari ini menyaksikan tiga wakil negara berjaya mempamerkan aksi memberangsangkan.
Juara ESBK Talent musim lalu, Qabil Irfan Azlan muncul antara pelumba terpantas dengan catatan kedua terbaik keseluruhan, memperlihatkan konsistensi dan kemampuannya.
Naqib Rifqi pula menutup sesi dengan kedudukan keenam, menunjukkan peningkatan ketara dari hari pertama hingga hari kedua.
Qayyim Razin menamatkan ujian dengan catatan ke-11 terpantas, namun berjaya memperbaiki catatan masa dari satu sesi ke sesi lain.
Ketiga-tiga pelumba mengakui keputusan ini memberi keyakinan, namun masih banyak aspek perlu dipertingkatkan termasuk pengurusan tayar, kecergasan fizikal dan kekuatan mental.
“Sepanjang dua hari ini, saya banyak belajar terutamanya dari segi konsistensi bagi setiap lap. Masih banyak perkara yang perlu saya perbaiki, terutamanya dalam keadaan cuaca panas dan pengurusan tayar," kata Qabil.
Naqib Rifqi dalam pada itu berterima kasih kepada kru Moto4 Asia serta rakan-rakan pelumba lain yang banyak membantunya.
"Ujian ini mencabar mental dan kecergasan, dan saya perlu tingkatkan corak tunggangan saya.”
Bagi Qayyim Razin, banyak peningkatan dapat dilakukan dan selain belajar perkara baharu.
"Cabarannya besar kerana semua pelumba kompetitif. Untuk Pusingan 1 di Thailand, saya yakin boleh berada dalam kelompok hadapan, namun masih banyak yang perlu diperbaiki.”
Pusingan pertama Moto4 Asia Cup 2026 dijadual berlangsung pada 27 dan 28 Februari ini di Buriram, Thailand.

