QAYYIM Razin Rangkul Kemenangan Berganda Di Sepang, Qabil Isi Podium!

Dominasi ditampilkan Qayyim Razin pada Pusingan 2 Moto4 Asia Cup 2026 di Sepang selepas menjuarai kedua-dua perlumbaan ditawarkan ketika Qabil Irfan turut berada di podium pada kedua-dua perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/2/20261 min read

PELUMBA muda negara, Qayyim Razin Razali mencipta kejutan apabila menampilkan mendominasi penuh dengan menjuarai kedua-dua perlumbaan yang ditawarkan pada Pusingan 2 Moto4 Asia Cup (Moto4 AC) 2026 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), minggu ini.

Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung pada Sabtu, Qayyim Razin yang memulakan perlumbaan di petak ke-6 membuktikan yang dia mampu memberikan cabaran apabila sentiasa berada di kelompok utama yang turut diisi seorang lagi pelumba negara, Qabil Irfan Azlan.

Dan meskipun menghabiskan banyak masa memimpin perlumbaan, keputusan akhir menyaksikan Qayyim dinobatkan sebagai juara menerusi ‘foto finish’ dengan perbezaan jurang masa amat sedikit.

Pelumba Jepun, Kotaro Toga yang sejak awal perlumbaan 11 pusingan itu bersaing sengit dengan Qabil terpaksa menerima hakikat kedudukan naib juara dengan Qabil ketiga.

Perlumbaan 2 yang berlangsung pada Ahad turut sengit dengan pelumba yang mengisi kelompok saling memintas antara satu sama lain.

Berada di kedudukan pendahulu pada pusingan terakhir, ia tidak menjamin kemenangan buat Qabil yang akhirnya terpaksa berpuas hati sekali lagi menamatkan perlumbaan di tempat ke-3 dengan kejayaan menjadi milik Qayyim.

Tempat kedua menjadi milik pelumba Jepun, Waku Kunitate.

Keputusan melonjakkan kedudukan keseluruhan Qayyim ke tangga ke-4 selepas tidak mengutip sebarang mata pada pusingan pembukaan di Thailand dengan Qabil di kedudukan ke-3 dengan mengumpul 62 mata.