QJ Motor Pertaruhkan SRK800 RR Di WSBK 2024, Mula Dengan Sertai WorldSSP!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

12/20/20231 min read

PENGELOLA Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) mengumumkan senarai pasukan yang menyertai kejuaraan itu pada musim 2024, baru-baru ini dan menariknya, ada 'muka baharu' dalam kelas WorldSSP yang datang dari China iaitu QJ Motor.

Kehadiran QJ Motor menyaksikan kejuaraan itu bakal diisi tujuh pengeluar yang turut diisi Ducati, Honda, Yamaha, Kawasaki, Triumph dan MV Agusta.

Begitupun, QJ Motor yang menggunakan nama pasukan QJ Motor Factory Racing dan menggunakan jentera QJ Motor GSR 800 hanya menyenaraikan seorang pelumba iaitu Raffaele De Rosa dari Itali.

Kepada yang mengikuti Kejuaraan Motosikal Dunia, QJ Motor sudah pun meletakkan namanya dalam pentas Moto3 sebagai penaja kepada pasukan Reale Avintia Moto3.

Justeru, penampilan di WorldSSP adalah pertama buat syarikat itu menggunakan jentera mereka tersendiri QJ Motor GSR 800.

Mengulas jentera QJ Motor GSR 800, ia adalah model yang sama dengan QJ Motor SRK800 RR - model yang membuat penampilan sulungnya di Eicma 2023, bulan lalu.

Begitupun, ia diberikan talaan berbeza untuk beraksi di WorldSSP dan kuasa dikatakan akan berada pada sekitar 140-150 Hp - melihat kepada spesifikasi musim lepas.

Kepada yang tak tahu, trenkuasa QJ Motor SRK800 RR menggunakan enjin yang sama dengan Honda CBR650R namun dengan 'Stroke' lebih panjang dan kerangka yang mirip model 'Sportbike' aras tengah Honda itu.

Difahamkan, sekalipun beraksi sepenuh musim, QJ Motor Factory Racing hanya menyertai 'Supersport Challenge' yang bermakna pasukan itu hanya akan beraksi ketika pusingan di Eropah dan tanpa menyertai aksi pembuka tirai di Phillip Island, Australia.

Mengikut jadual, pasukan itu akan memulakan cabarannya di WorldSSP pada 22 hingga 24 Mac di Barcelona.