QJMOTOR AX200S (2025) Lancar Di Malaysia, Ada TCS, Tangki Petrol 10L, RM 7,988!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/16/20251 min read

SATU lagi penawaran menarik dalam segmen skuter dilancarkan MForce Bike menerusi QJMotor AX200S (2025), model yang diposisikan dalam segmen skuter 'Sport' yang boleh dikatakan cukup popular di pasaran tempatan.

Seperti diumumkan oleh syarikat itu sebelum ini, harga jualan rasmi yang didedahkan adalah di bawah RM 8k iaitu RM 7,988 (asas), tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Grey, Moon Blue dan Sand Brown.

Selain harga yang cukup kompetitif, QJMotor AX200S (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 175 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Atas kertas, ia menjana kuasa sebesar 17.4 Hp pada 8,500 rpm dan tork 15 Nm pada 6,500 rpm.

Justeru, boleh dikatakan ia adalah model paling berkuasa dalam kelasnya di pasaran tempatan ketika ini yang turut dihuni jenama 'H' dan 'Y' serta pemain baharu daripada jenama 'A'.

Untuk memberikan cabaran dalam pasaran, QJMotor AX200S (2025) turut dipadankan dengan pelbagai ciri-ciri menarik.

Antaranya adalah seperti kapasiti tangki bahan api 10 liter, Sistem Kunci Pintar, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS).

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang) yang lengkap dengan 'sub-tank'.

Sistem brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 230 cc (depan) dan cakera tunggal bersaiz 220 mm (belakang) seperti dinyatakan lengkap ABS.

Info lain adalah seperti berikut

  • Sistem lampu LED

  • Panel meter LCD

  • Tinggi pelana 780 mm

  • Jarak lega bumi 145 mm

  • Set roda adalah 100/80-14 (depan), 120/70-14 (belakang).

  • Berat 127 kg

Seperti biasa, jaminan pengeluar yang ditawarkan oleh MForce Bike adalah selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan dijangka akan mula tiba di bilik pameran pada penghujung bulan ini.