QJMOTOR e-LTR (2025) Rasmi Di Malaysia, Gaya Retro, RM 4.6k Selepas Rebat MARiiCas!
Diumumkan pada harga RM 6,999, begitupun menerusi skim MARiiCas, pembeli yang layak boleh menerima rebat sebanyak RM 2,400 dan menjadikan harga akhir untuk memiliki QJMotor e-LTR (2025) hanya RM 4,599
PELANCARAN
8/25/20251 min read


QJMotor Malaysia secara rasmi memeriahkan lagi pasaran kenderaan elektrik (EV) tempatan dengan pelancaran skuter elektriknya QJMotor e-LTR (2025) hari ini.
Apa yang menarik, model sulung elektrik QJMotor di Malaysia itu dilancarkan secara maya menerusi platform media sosial rasmi QJMotor Malaysia.
Diumumkan pada harga RM 6,999, begitupun menerusi skim MARiiCas, pembeli yang layak boleh menerima rebat sebanyak RM 2,400. Ini menjadikan harga akhir untuk memiliki skuter elektrik ini hanya RM 4,599.
Dari sudut rekaan, QJMotor e-LTR (2025) tampil dengan reka bentuk retro mirip skuter daripada Itali.
Dan menurut QJMotor, saiz yang kompak dan ketinggian pelana yang rendah pada 760 mm membuatkan skuter ini mudah dikendalikan di laluan bandar yang sibuk dan mesra untuk pelbagai saiz penunggang.
Sebagai model EV, QJMotor e-LTR (2025) tampil dengan ciri-ciri moden seperti sistem lampu LED penuh, panel meter jenis digital, port pengecas USB dan sebagai skuter, ia turut mempunyai ruang simpanan bawah pelana yang praktikal dan mampu memuatkan topi keledar.
Mengulas trenkuasa, QJMotor e-LTR dipadankan dengan motor elektrik 3,000W (3.0kW) dan dijana bateri lithium-ion berkapasiti 27Ah. Kelajuan maksimum mencapai 80 km/j dengan cas penuh mampu membawa penunggang kira-kira 70 km.
Dengan berat 13.5 kg, bateri ini memerlukan masa sekitar 5 hingga 6 jam untuk dicas dari 30 peratus ke 80 peratus.
Untuk fleksibiliti tunggangan, QJMotor e-LTR didatangkan dengan tiga mod tunggangan: Low, Medium, dan Sport yang membolehkan penunggang menyesuaikan output kuasa mengikut keperluan dan mengoptimumkan penggunaan bateri.
Suspensi dijana fork teleskopik (depan) dan penyerap hentak berkembar belakang. Sistem brek pula menggunakan cakera pada kedua-dua roda depan dan belakang, yang turut dilengkapi dengan Teknologi Brek Gabungan (CBS) untuk keselamatan tambahan. Set roda adalah 100/90-12 (depan), 110/90-12 (belakang).




