QJMOTOR Kembalikan 'Jeritan' Enjin 600 cc, 4 Silinder Sebaris Dengan 'Sportbike' QJMotor SRK600 RR (2023)

7/22/20231 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal China, QJMotor nampaknya tak kisah 'menongkah' arus apabila melancarkan model 'Sportbike' bernadikan enjin bersesaran 600 cc, 4 Silinder Sebaris, baru-baru ini - QJMotor SRK600 RR (2023).

Seperti diketahui, ramai pengeluar motosikal utama dunia sudah menghentikan program 600 cc, 4 Silinder Sebaris berikutan piawaian emisi yang ketat terutama di pasaran Eropah dan Jepun.

Justeru, kehadiran QJMotor SRK600 RR (2023) boleh dianggap sesuatu yang sedikit berbeza tetapi QJMotor pasti memiliki sebab dan perancangan tersendiri.

Tampil dengan rekaan garang dan kadang kala mirip 'Panigale', di bahagian trenkuasa, QJMotor SRK600 RR (2023) dijana enjin bersesaran 600 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Angka kuasa yang dihamburkan tidaklah begitu tinggi seperti Yamaha R6 atau Honda CBR600RR yang sudah mencapai tiga angka namun pada 81 Hp pada 11,000 rpm dan tork 51 Nm, ia disifatkan mencukupi kepada mereka yang mahu berjinak-jinak ke dunia 'big bike'.

Selain menggunakan trenkuasa 4 Silinder Sebaris, apa yang menarik mengenai QJMotor SRK600 RR adalah ia dilengkapi dengan pakej elektronik canggih termasuk IMU (Inertial Management Units).

Menurut syarikat itu, sistem berkenaan pertama kali diperkenalkan untuk barisan model QJ Motor.

Menerusi penggunaan IMU, ia turut mengawal selia sistem 'Bosch Motorcycle Stability Control' (MSC) yang turut mengawal sistem brek termasuk ABS.

Sekalipun sedikit berat, 225 kg, sistem suspensi yang digunaman adalah fork jenis terbalik USD dari Kayaba (KYB) manakala penyerap hentak tunggal dipadankan di bahagian belakang.

Informasi penting motosikal ini dipadankan dengan sistem lampu LED penuh, panel meter digital dan kedudukan pelana 800 mm.

Sekalipun tidak diketahui sama ada ia akan menerjah ke pasaran Eropah atau tidak, QJMotor SRK600 RR memang berpotensi untuk 'hits' di negara kelahirannya dan berkemungkinan termasuk Malaysia. Sama-sama kita tunggu.