QJMOTOR 'Serang' Pasaran Skuter 'ADV', Lancar QJMotor ATX 250 (2025), Mula RM 12,988!

Syarikat pengeluar motosikal gergasi China, QJMotor meningkatkan penawarannya di Malaysia apabila melancarkan skuter bergaya 'ADV' QJMotor ATX 250 (2025) untuk pasaran tempatan bersama 2 varian

PELANCARAN

11/17/20251 min read

PERSAINGAN dalam segmen skuter bergaya 'ADV' atau berpewatakan lasak di Malaysia terus hangat apabila QJMotor melancarkan jagoannya QJMotor ATX 250 (2025) yang datang dengan varian, Standard dan X.

Untuk QJMotor ATX 250 (2025), harga jualan yang diumumkan adalah RM 12,988 dan bagi varian X, harga yang diumumkan sedikit tinggi iaitu RM 13,988.

Seperti biasa, harga yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Ulas trenkuasa, kedua-dua varian dipadankan dengan enjin bersesaran 249 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa yang dihamburkan adalah 25 Hp pada 8,000 rpm dan tork 24.5 Nm pada 6,500 rpm.

Dari sudut rekaan, QJMotor ATX 250 (2025) tampil dengan rekaan 'klasik' skuter lasak yang jelas menarik termasuk jarak lega bumi yang tinggi iaitu 120 mm.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak berkembar (belakang).

Brek menggunakan cakera tunggal bersaiz 240 mm (depan/belakang) lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 2 Saluran dengan set roda 110/80-14 (depan) dan 130/70-13 (belakang).

Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) juga datang secara standard. Informasi lain adalah seperti tangki bahan api 12.5 liter dan berat 161 kg.

Sebagai info, perbezaan untuk varian Standard dan SE adalah seperti rim jejari dan 'top box' untuk versi X. Apa yang menarik, kedua-dua varian memiliki pelindung enjin dan lengkap dengan lampu kabus secara standard.

Menurut MForce Bike, QJMotor ATX 250 (2025) akan mula tiba di cawangan pengedar sah mereka pada tahun ini.