QJMOTOR Sertai Segmen Skuter Aras Tinggi, Bakal Lancar QJ700-8K

Apa yang menarik, sekilas pandang, reka bentuk QJMotor 700-8K memang tampak cukup mirip dengan Italjet Dragster 700 malah spesifikasinya pun agak sama termasuk penggunaan kerangka trellis

TERKINI

8/14/20251 min read

QJMOTOR
QJMOTOR

SYARIKAT pengeluar motosikal gergasi China, QJMotor terus membuat kejutan dan tampak bersedia untuk menyertai persaingan dalam segmen skuter aras tinggi selepas dilaporkan bakal melancarkan penawarannya digelar QJ700-8K.

Apa yang menarik, sekilas pandang, reka bentuknya memang tampak cukup mirip dengan Italjet Dragster 700 malah spesifikasinya pun agak sama termasuk penggunaan kerangka trellis.

Kepada yang tidak tahu, di sebalik rekaan sporty dan bendera Itali yang menghiasi Italjet, jentera berkenaan turut dibangunkan dan dihasilkan bersama oleh QJMotor.

Tetapi berbanding Italjet Dragster 700 yang dipamerkan di EICMA beberapa tahun lalu, angka kuasa dan tork yang didedahkan oleh QJMotor lebih tinggi.

Ketika angka kuasa Italjet Dragster 700 berada pada angka 70 Hp, QJ700-8K yang turut menggunakan transmisi manual dan menggunakan klac tangan dikatakan menghaburkan kuasa sebesar 75 Hp.

Selain rekaan yang sama mengujakan, perincian yang dapat dilihat daripada imej yang terdedah adalah QJMotor turut memasang komponen premium seperti kaliper brek Brembo dan suspensi daripada jenama Marzocchi.

Justeru jika perkakasan ini dikekalkan semasa pelancaran nanti, ia berpotensi menjadi sebuah jentera yang hampir seiras dengan Italjet cuma pada harga yang lebih rendah.

Memandangkan Italjet sudah pun bertapak di Eropah, besar kemungkinan QJMotor tidak memasarkan model yang sama di pasaran berkenaan sebagai antara perjanjian.

Di Malaysia, jenama QJMotor berada di bawah edaran MForce Bike yang memberikan harapan, kita berpeluang untuk melihatnya dengan lebih cepat.