QJMOTOR SRK 921RR (2024) Debut Di China, Guna Enjin MV Agusta, 129 Hp!

TERKINI

1/10/20241 min read

SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka China, QJMotor tidak menunggu lama untuk memperkenalkan model baharu jenama itu dalam segmen 'Sportbike' aras tinggi dengan melancarkan QJMotor SRK 921RR (2024).

Seperti biasa, majlis perasmian model terbaharu berkenaan berlangsung di negara pengeluar berkenaan iaitu China, baru-baru ini.

Seperti kebanyakan model-model keluaran dari negara Tembok Besar itu, QJMotor SRK 921RR (2024) dihasilkan dengan kerjasama syarikat pengeluar terkemuka dan kali ini, MV Agusta.

Dari sudut trenkuasa, QJMotor SRK 921RR (2024) dipadankan dengan enjin yang dibekalkan oleh pengeluar Itali itu.

Dan seperti namanya, ia dipadankan dengan enjin bersesaran 921 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Sebagai info, enjin yang digandingkan kepada QJMotor SRK 921RR (2024) itu diambil daripada enjin 1,000 cc yang digunakan oleh MV Agusta terhadap model 'Naked' jenama itu, MV Agusta Brutale versi 2010.

Dan angka 921 itu diperoleh hasil daripada penggunaan ‘bore’ dan ‘stroke’ berbeza berbanding MV Agusta Brutale iaitu daripada 73 mm x 55 mm ke 79 mm x 50.9 mm.

Kuasa yang dihamburkan adalah 129 Hp pada 10,000 rpm dan tork 93 Nm pada 8,000 rpm.

Dari sudut rekaan, QJMotor SRK 921RR (2024) tampil dengan penggayaan tersendiri yang 'Sporty' dan garang ditambah 'trademark' MV Agusta iaitu penggunaan lengan ayun jenis 'Single-sided' selain rekaan unik ekzos jenis 'Quattro'.

Seperti motosikal moden lain, QJMotor SRK 921RR (2024) turut datang dengan pelbagai kelengkapan elektronik moden antaranya '6-axis IMU', Mod Tunggangan, Mod Kuasa, Kawalan Traksi dan Cornering ABS.

Komponen premium yang dipadankan termasuklah fork USD dari jenama Marzocchi dan sistem brek yang menggunakan kaliper Brembo Stylema dan 'Steering damper'.

Dan seperti motosikal keluaran negara China lain, motosikal yang memiliki berat 215 kg dan tangki bahan api 16 liter ini turut lengkap dengan 'Dashcam' dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Dan menariknya, harga pengenalan di China untuk QJMotor SRK 921RR (2024) ini adalah CNY 69,999 (RM 45,434).