QJMOTOR SRK250 RD (2025) Dilancarkan, Enjin 4 'Dapur', RM 21,888!

Selepas sekian lama berteka-teki, 'Sportbike' suku liter 4 'dapur' QJMOtor SRK250 RD (2025) akhirnya memiliki harga untuk pasaran Malaysia

PELANCARAN

11/18/20251 min read

QJMOTOR akhirnya melancarkan motosikal 'Sportbike' suku liter 4 'dapur' QJMOtor SRK250 RD (2025) untuk pasaran Malaysia sekali gus menamatkan teka-teki yang selama ini berlegar bersama harga jualan menarik, RM 21,888.

Seperti biasa, angka jualan yang diumumkan adalah asas, tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Lebih menarik, motosikal yang akan bersaing secara terus dengan Ninja ZX-25R itu dilancarkan di fasiliti pemasangan QJMotor di Taizhou, China.

Sebagai rekod, Ninja ZX-25R menjadi satu-satunya motosikal 'Sportbike' dalam segmen 250 cc yang menawarkan enjin 4 Silinder Sebaris ketika ini di pasaran Malaysia.

Tampil dengan rekaan mengujakan atau mungkin sedikit unik, menerusi lampu hadapan berbentuk V yang menonjol dan memberikan identiti yang tersendiri dan berbeza dengan pesaingnya.

Dan ia kemudian ditambah dengan 'winglet' aero yang jelas berjaya menyerlahkan imej agresif sportbike berkenaan ditambah dengan rekaan minimalis dengan lampu belakang LED yang kompak.

Di bahagian trenkuasa, enjin yang digunakan adalah 249 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihasilkan adalah setinggi 40.2 Hp @ 15,500 rpm dan tork 22 Nm @ 12,500 rpm.

Penampilannya turut bertambah kacak menerusi penggunaan ekzos 'underbell', fork depan jenis USD dan kaliper brek daripada Brembo.

Info lain adalah seperti berikut:

  • Panel meter TFT digital

  • Dashcam

  • cakera brek tunggal 320mm depan dan 240mm belakang

  • Set roda 110/70-17 (depan), 150/60-17 (belakang)

  • Tangki bahan api 16 liter

  • Berat 176 kg

Akan mula berada di pasaran pada tahun ini.