QJMOTOR SRK450 RR Tampil Dengan Wajah Baharu!
Rekaan asal QJMotor SRK450 RR adalah hasil sentuhan studio reka bentuk terkemuka Itali, C-Creative, yang diketuai oleh bekas ketua pereka MV Agusta, Adrian Morton
TERKINI
9/2/20251 min read


QJMOTOR melancarkan model 'Sportbike' 4 Silinder, QJMotor SRK450 RR pada Jun tahun lalu dan kurang dua tahun selepas debut globalnya, syarikat itu tampil memperkenalkan versi kemas kini dengan perubahan ketara membabitkan rekaan di bahagian hadapan.
Berkemungkinan rekaan awal yang terlalu kontroversi, syarikat pengeluar motosikal gergasi China itu tampil lebih konvensional dan agresif, dipercayai menjawab kepada maklumbalas kepada reaksi bercampur-baur terhadap rekaan asalnya.
Rekaan hadapan QJMotor SRK450 RR yang cukup radikal sebelum ini diinspirasikan daripada model konsep SRK1000RC Ten78. Ia menggunakan lampu utama tunggal yang nipis sebaris, memberikan rupa seakan 'alien' dan futuristik.
Tetapi jangan memandang rendah rekaan itu, ia adalah hasil sentuhan studio reka bentuk terkemuka Itali, C-Creative, yang diketuai oleh bekas ketua pereka MV Agusta, Adrian Morton.
Begitupun selepas ia dilihat tidak berjaya menawan selera pasaran secara meluas, QJMotor mengambil langkah proaktif untuk mengubahnya.
Apa yang Baharu? Wajah Lebih Agresif dan Aerodinamik
Berdasarkan dokumen kelulusan di China, versi baharu SRK450 RR menampilkan beberapa perubahan reka bentuk yang signifikan.
Lampu utama yang sebelum ini berbentuk sebaris yang nipis digantikan dengan dua unit lampu utama LED yang lebih tajam dan condong.
Rekaan ini dikatakan mengambil inspirasi daripada jentera superbike Eropah yang memberikan imej lebih garang dan diterima umum.
Dan untuk engikut trend jentera sport moden, fairing hadapan kini dilengkapi dengan sayap aerodinamik (winglets). Sekalipun keberkesanannya pada jentera berkuasa 76 Hp ini boleh diperdebatkan, ia jelas sekali menambah nilai estetika dan aura jentera perlumbaan.
Selain itu, posisi cermin sisi juga diubah daripada kedudukan konvensional di bahagian fairing kepada hujung bar hendal, yang digabungkan bersama pelindung tuil.
Dari sudut spesifikasi mekanikal, QJMotor SRK450 RR masih mengekalkan spesifikasi teknikal yang sama seperti model sebelumnya iaitu:
Enjin 421 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa 76 Hp @ 14,000 rpm
Tork 39 Nm @ 13,000 rpm
Berat 176 kg
Setakat ini, tidak diketahui sama ada QJMotor SRK450 RR ini akan memasuki pasaran Malaysia atau tidak tetapi adiknya, QJMotor SRK 250 RD - yang tampil dengan rekaan agak sama dengan sesaran enjin lebih rendah sah akan dilancarkan pada tahun ini.
