QJMOTOR SRK600RC Buat Penampilan Di KLBS 2023? Sportbike 600 cc, 4 'Dapur'!
TULAR
8/21/20231 min read
PEMINAT arena permotoran tanah air bakal disajikan dengan pameran Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023, minggu ini dan antara penawaran baharu dikatakan bakal buat penampilan 'sulung' di acara berkenaan adalah QJMotor SRK600RC (2023).
Kepada yang tak tahu, hak pengedaran rasmi barisan model QJMotor di Malaysia diuruskan oleh pihak MForce Bike Holdings yang turut mengambil bahagian dalam acara berkenaan.
Menurut maklumat yang diperoleh serta hebahan yang dibuat oleh pihak MForce Bike, motosikal 'Sportbike' itu dijadual membuat penampilan di acara berkenaan.
Mengulas ringkas spesifikasi trenkuasa QJMotor SRK600RC, ia dijana enjin bersesaran 600 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC yang digandingkan dengan transmisi 6 kelajuan.
Kuasa yang dihamburkan adalah sekitar 81 Hp pada 11,000 rpm dan tork 51 Nm pada 10,500 rpm.
Seperti kebanyakan motosikal QJMotor moden lain, ia turut dilengkapi dengan pelbagai ciri menarik antaranya Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran, kaliper brek Brembo, fork jenis terbalik (USD), panel meter TFT 5 inci, dan sistem lampu LED penuh.
Selain QJMotor, pihak MForce turut dijadual melancarkan beberapa lagi model terbaharu yang berada di bawah syarikat itu di KLBS 2023 antaranya Brixton dan beberapa lagi model selain pengenalan jenama baharu, MBPMoto.
Sebagai info, KLBS 2023 akan membuka tirainya pada 24 hingga 27 Ogos ini di World Trade Center Kuala Lumpur.