QJMOTOR SRK921 Pro Diperkenal, Lebih Canggih, Ini Yang Bakal Gegar Pasaran Malaysia?
Pengenalan QJMOTOR SRK921 Pro menghangatkan kembali persoalan di kalangan peminat motosikal tempatan adakah ia akan turut memasuki pasaran Malaysia, selepas QJMotor SRK921 RR yang pernah dilaporkan bakal tiba tahun lalu senyap tanpa sebarang perkembangan lanjut
TERKINI
9/4/20252 min read


QJMOTOR terus mencuri tumpuan apabila mengumumkan model versi kemas kini model 'Sportbike' 4 Silinder Sebaris handalannya QJMotor SRK921 RR menerusi pengenalan QJMotor SRK921 Pro yang kini sarat dengan pelbagai teknologi elektronik canggih.
Tetapi, sedikit mengecewakan, pelancaran itu setakat ini adalah untuk pasaran domestik negara Tembok Besar itu.
Begitupun menariknya, pengumuman itu kembali menghangatkan persoalan di kalangan peminat motosikal tempatan adakah ia akan turut memasuki pasaran Malaysia, selepas QJMotor SRK921 RR yang pernah dilaporkan bakal tiba tahun lalu senyap tanpa sebarang perkembangan lanjut.
Di China, QJMotor SRK921 Pro ditawarkan pada harga 71,999 RMB (RM 42,616) tetapi dengan promosi terhad,. harganya menyusut kepada 69,999 RMB (sekitar RM 41,433).
Seperti dinyatakan, penambahbaikan yang dibuat kepada QJMotor SRK921 Pro adalah lonjakan teknologi pada sistem elektronikanya.
Ia kini dilengkapi dengan pendikit elektronik dan Unit Pengukuran Inersia (IMU) enam paksi, satu ciri yang lazimnya ditemui pada jentera 'superbike' premium dari Eropah dan Jepun.
Dan kehadiran IMU membolehkan QJMotor SRK921 Pro memiliki fungsi Bantuan Brek Selekoh (Cornering ABS) dan Sistem Kawalan Cengkaman (Traction Control) yang beroperasi dengan lebih cekap berikutan pemantauan dinamik jentera dalam masa nyata.
Sementara itu, teknologi pendikit elektronik membuka jalan kepada ciri moden seperti quickshifter dua hala, mod tunggangan (Rain, Standard, Track), serta Kawalan Jelajah untuk keselesaan tunggangan jarak jauh.
Dari segi kuasa, QJMotor SRK921 Pro masih dijana oleh enjin 921 cc, 4 Silinder Sebaris yang menghasilkan kuasa 129 Hp dan tork 93 Nm.
Pakej yang ditawarkan tidak berhenti di situ dengan ia turut dipadankan dengan komponen berjenama premium termasuk sistem suspensi Marzocchi boleh laras sepenuhnya dan sistem brek daripada Brembo dengan angkup empat piston di hadapan.
Ciri-ciri pintar lain yang melengkapkan model ini termasuk skrin instrumen TFT berwarna dengan fungsi navigasi, kamera papan pemuka (dashcam) HD terbina, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), dan port pengecasan pantas 18W.
Di Malaysia, QJMotor yang diedarkan secara rasmi oleh MForce Bike Holdings cukup terkenal dengan strategi pemasaran dan harga yang kompetitif untuk jenama di bawah naungannya.
Dan jika MForce berjaya membawa masuk QJMotor SRK921 Pro ke pasaran tempatan dengan harga yang menarik, ia berpotensi menjadi 'pengacau' utama dalam segmen 'superbike' mampu milik, seterusnya memberikan saingan sengit kepada jenama-jenama sedia ada.






