QJMOTOR SRV600V (2025) Kini Di Malaysia, Asas RM 33.9k!

Selepas QJMotor SRV250 AMT, QJMotor Malaysia memperkenalkan satu lagi penawaran menarik untuk pasaran menerusi pelancaran model kruiser dengan konfiguarasi enjin V4, QJMotor SRV600V

PELANCARAN

8/2/20251 min read

QJMOTOR SRV600V (2025)
QJMOTOR SRV600V (2025)

SATU lagi penawaran menarik daripada QJMotor menerjah pasaran Malaysia, hari ini menerusi pelancaran model kruiser dengan konfiguarasi enjin V4, QJMotor SRV600V (2025) yang dijual pada harga RM 33,888.

Seperti biasa, harga yang diumumkan itu adalah asas, tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans dan sudah boleh didapati oleh semua pengedar sah MForce Bike seluruh Malaysia.

Tiga pilihan warna menarik ditawarkan iaitu Silver, Sky Black (Matte) dan Night Black.

Tampil dengan rekaan yang garang, QJMotor SRV600V (2025) dikatakan cukup praktikal untuk tunggangan jarak jauh mahupun harian.

Di bahagian trenkuasa, QJMotor SRV600V (2025) dikuasakan oleh enjin bersesaran 561 cc, 4 Silinder V4, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual bersama sistem pacuan tali sawat.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 67.1 Hp pada 10,500 rpm dan tork 54 Nm pada 8,000 rpm.

Seperti motosikal moden lain, QJMotor SRV600V (2025) turut memiliki ciri TCS (Traction Control System) dan menariknya memiliki ciri nyahaktif mengikut keperluan.

Sistem membrek menggunakan cakera berkembar bersaiz 300 mm (depan) dan cakera tunggal bersaiz 260 mm (belakang) dan disokong oleh Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) dua saluran.

Suspensi pula dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) jenama Marzocchi dan penyerap hentak berkembar (belakang).

Dari segi teknologi, QJMotor SRV600V (2025) dilengkapi dengan sistem lampu LED penuh dan panel meter TFT berwarna berbentuk bulat lengkap dengan ciri sambungan ke telefon pintar yang turut menyokong sambungan ke aplikasi pihak ketiga seperti Carbit Ride serta kemudahan navigasi.

Ciri-ciri menarik dan info lain adalah seperti berikut:

  • Sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)

  • Ekzos 'Quad' berkembar di kiri dan kanan

  • Port pengecas USB jenis Type-A dan Type-C

  • Sistem pelana 2 tingkat

  • Set roda 130/90-16 (depan), 180/65-16 (belakang)

  • Tinggi pelana 720 mm

  • Tangki bahan api 16.5 liter

  • Berat 219 kg

Seperti biasa, setiap pembelian QJMOTOR SRV600V akan menerima menikmati jaminan pengeluar selama dua tahun dengan jarak perbatuan tanpa had dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.