QUARTARARO, Acosta Ada Peluang - Jorge Lorenzo
Sekalipun melabel Marc Marquez sebagai 'fenomena' dalam kancah MotoGP ketika ini, Jorge Lorenzo percaya dua pelumba Fabio Quartararo dan Pedro Acosta memiliki potensi untuk mendekati tahap pelumba itu pada masa hadapan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/19/20252 min read


JUARA dunia lima kali, Jorge Lorenzo melabel Marc Marquez sebagai 'fenomena' dalam kancah MotoGP malah menyifatkan pelumba sensasi Sepanyol itu mampu menunggang apa sahaja jentera, termasuk 'sebuah traktor' dengan laju.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama portal sukan permotoran GPOne, Lorenzo, yang pernah menjadi rakan sepasukan Marquez di Repsol Honda, menegaskan bahawa tiada pelumba di grid semasa yang mampu menandingi juara dunia lapan kali itu.
Begitupun, juara dunia tiga kali MotoGP itu mengakui yang dua pelumba Fabio Quartararo dan Pedro Acosta memiliki potensi untuk mendekati tahap Marquez pada masa hadapan.
"Marc mampu membuatkan traktor bergerak dengan laju, saya sedar hakikat itu ketika saya tiba di Honda. Mungkin Fabio dan Pedro akan menyertainya (di tahap itu) apabila Marc semakin berusia," kata Lorenzo.
Lorenzo yang pernah beraksi bersama Ducati berkata kehebatan Marquez sudah lama dihidu oleh Pengurus Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna.
"Dall’Igna sudah melihat data pada tahun 2024, jadi dia tahu dengan jelas apa yang Marquez mampu lakukan (dengan jentera Ducati)," katanya.
Mengimbas kembali kariernya bersama Ducati, Lorenzo mendedahkan peranannya yang signifikan dalam pembangunan jentera Desmosedici sehingga ia menjadi dominan seperti hari ini.
"Saya melakukan sebahagian besar kerja di Ducati, menunjukkan bahawa haluan pembangunan yang diambil adalah betul. Saya memenangi tiga perlumbaan berturut-turut, dan ia mempercepatkan proses untuk menjadikan jentera lebih mudah dan mesra tunggangan untuk semua pelumba," katanya.
Lorenzo turut menjelaskan perbezaan ketara antara jentera Ducati yang ditunggangnya dahulu berbanding model terkini.
"Dulu, mustahil untuk 'membaringkannya' dengan terlalu lama, anda perlu menegakkannya semula dengan cepat. Sekarang, jentera Ducati semudah ditunggang seperti jentera Moto2. Anda boleh membaringkannya dengan banyak dan pelumba mempunyai lebih kebebasan dalam gaya tunggangan."
Ketika ditanya mengenai pengalamannya bersama Honda, di mana beliau berganding dengan Marquez pada 2019, Lorenzo mengakui ia adalah cabaran yang sukar, ditambah pula dengan siri kecederaan yang dialaminya.
"Ya, (Honda lebih sukar ditunggang), dan saya tidak pernah berada pada tahap 100 peratus kerana kecederaan. Sebaliknya, Marc mempunyai pengalaman sejak 2013 dan dia boleh dikatakan menunggang jentera yang 'direka khas' untuk dirinya," kata Lorenzo.
"Begitupun, jentera Honda bukanlah tidak bagus, tetapi mengambil selekoh adalah lebih rumit dan saya kurang pengalaman dengan jentera itu."
Mengulas perbandingan antara Marquez dengan pelumba handalan Ducati lain seperti Francesco 'Pecco' Bagnaia dan Jorge Martin, Lorenzo tidak teragak-agak untuk menobatkan Marquez sebagai yang terbaik.
"Marc adalah yang terbaik ketika ini. Pecco dan Martin memang kuat dan boleh bersaing, tetapi Marc kekal di satu tahap yang lain. Pada masa akan datang, pasti akan ada fenomena baharu, tetapi hari ini tiada siapa yang benar-benar boleh mengejarnya," kata Lorenzo.
