RAIH Kemenangan Pertama Jadi Keutamaan Pedro Acosta
Selepas mengharungi kempen mengujakan dengan status 'rookie' pada musim 2024, apa yang diharapkan Pedro Acosta pada kempen MotoGP musim 2025 jelas tidak menjadi kenyataan
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/4/20251 min read


PEDRO Acosta menegaskan fokus utamanya bagi kempen baharu MotoGP musim depan adalah untuk meraih kemenangan pertamanya bersama KTM.
Selepas mengharungi kempen mengujakan ketika bergelar 'rookie', pelumba asal Sepanyol itu bergelut dengan prestasi hambar KTM sepanjang musim lalu malah tidak berselindung mengakui terkejut dengan prestasi longlai jentera KTM di awal musim.
Dan ia kemudian diburukkan lagi oleh krisis kewangan pengeluar Austria itu.
"Saya tidak mahu kembali dengan mentaliti dan perasaan itu lagi,” katanya ketika di Valencia memetik laporan Crash.
Meskipun bergelut, Acosta berjaya bangkit dan meraih podium pertamanya pada GP Republik Czech sebelum rehat musim panas, selepas menerima jentera dinaik taraf sebelum menamatkan kempen di kedudukan ke-4 keseluruhan.
Dan mengulas mengenai musim baharu, Acosta berkata: “Pertama sekali, memenangi perlumbaan. Kami sedang mencuba, tetapi saya lihat ini sebagai sasaran jangka sederhana kerana kami tahu kekangan yang ada bukan kecil.
"Tiada jangkaan. Saya hanya mahu menunggi sehingga tiba di Sepang, mencuba jentera dan lihat apa masalahnya dan kemudian bekerja dari situ."
Apa yang pasti, beberapa bulan pertama musim 2026 dijangka penting buat KTM untuk meyakinkan Acosta kekal bersama pasukan sehingga 2027 dengan juara dunia dua kali itu sebelum ini dikaitkan dengan VR46 Ducati dan turut disebut sebagai pilihan Honda.

