RAIH Pengalaman Berharga Di Catalunya - Qabil Irfan
Menyarung sut lumba pasukan SIC GYRD MLav Racing, Qabil Irfan, 14 tahun mempamerkan corak tunggangan yang matang dan agresif biarpun terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-8 sebelum melepasi garisan penamat di tempat ke-4
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
5/25/20261 min read


PELUMBA muda berbakat besar negara, Qabil Irfan Azlan mengakui persaingan sengit pada pusingan pembukaan Moto4 European Cup 2026 di Litar Catalunya yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di tempat ke-4, semalam sebagai pengalaman berharga.
Menyarung sut lumba pasukan SIC GYRD MLav Racing, pelumba berusia 14 tahun itu mempamerkan corak tunggangan yang matang dan agresif biarpun terpaksa memulakan perlumbaan dari petak ke-8.
Apa yang menarik, pelumba kelahiran Terengganu itu tampak berjaya menyerap tekanan dengan baik dan tidak kekok untuk sentiasa memberi saingan sengit dalam kelompok utama yang membabitkan enam pelumba.
Mengulas mengenai perlumbaan yang disifatkan cukup mendebarkan itu, Qabil berkata aksi di Catalunya membuka matanya dan 'pelajaran' baharu dalam karier perlumbaannya.
"Perlumbaan kali ini membuatkan saya rasa sangat teruja. Ia adalah satu pengalaman baharu dan berbeza untuk saya kerana terpaksa bersaing dengan ramai pelumba yang hebat.
"Bermula di grid ke-8 memang sedikit sebanyak memberi tekanan kepada saya. Namun, saya dapat melakukan permulaan dengan baik dan memberikan cabaran sengit kepada kelompok hadapan," katanya.
Biarpun terlepas peluang menaiki podium, Qabil mahu menjadikan pengalaman di Sepanyol itu sebagai senjata untuk menghadapi pusingan seterusnya.
"Selepas ini saingan beralih ke Estoril. Saya pasti akan berikan tentangan yang hebat. Banyak yang saya pelajari dari Pusingan 1 ini dan pastinya saya akan kembali dengan lebih kuat selepas ini," katanya.

