RAKYAT Malaysia 'Terer', Tak Mustahil Model 'Aras Tinggi' Kawasaki Dipasang Di Gurun!

TULAR

9/12/20231 min read

MENERUSI perjanjian kerjasama strategik Modenas dan Kawasaki Jepun, syarikat pengeluar motosikal nasional itu diberi tanggungjawab untuk memasang model-model bawah 650 cc Kawasaki dan dijenamakan semula sebagai Modenas di pasaran tempatan.

Antara manfaat yang diperoleh Kawasaki pula ialah kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah kini turut menjadi pusat pemasangan model berkenaan, yang menjadikan harga motosikal berkenaan makin 'marhaen' di pasaran tempatan.

Begitupun, 'perjanjian' itu bagaikan 'dilanggar' apabila bukan saja model bersesaran bawah 650 cc dipasang di kilang berkenaan, namun termasuk model bersesaran hampir 1,000 cc iaitu Kawasaki Z900/SE.

Dan hasilnya, harga untuk motosikal bersesaran 948 cc, 4 Silinder Sebaris serba moden itu boleh dikatakan 'marhaen' dan 'menggegar' pasaran.

Kepada yang tak tahu, kilang pemasangan Modenas di Gurun ketika ini memiliki dua barisan kemudahan pemasangan khas untuk model-model Kawasaki.

Yang menariknya, fasiliti serba canggih itu atau menurut Modenas mengikuti sepenuhnya piawaian dan standard tinggi yang ditetapkan oleh Kawasaki seperti kilang pemasangan jenama itu di Thailand.

Dan kami di MotoDotMy dapat melihatnya sendiri ketika lawatan Modenas ke fasiliti berkenaan tahun lalu.

Dalam satu majlis anjuran Kawasaki Malaysia dan Emos, baru-baru ini, bos Modenas sendiri tidak menafikan yang pihak Kawasaki Jepun berpuas hati dengan kualiti kerja rakyat Malaysia terutama di Gurun.

Dan situasi itu membuatkan Kawasaki percaya untuk menjadikan model Kawasaki Z900/SE sebagai model CKD (Pemasangan Tempatan) dan bukannya unit CBU (complete built unit) seperti Kawasaki Ninja 1000SX, Ninja ZX-10R, Versys 1000 dan Z900RS.

Apa yang lebih menarik, beliau turut mendedahkan tidak mustahil model-model aras tinggi jenama itu turut berpeluang untuk dipasang di Malaysia, berdasarkan penilaian tinggi yang diberikan oleh Kawasaki Jepun kepada rakyat Malaysia.

Jadi dengan perkembangan terbaru ini turut memungkinkan untuk kita memperoleh Kawasaki ZX-10R atau Versys 1000 dengan harga lebih 'marhaen' nampak besar. Menarik bukan.