RAMAI Tak Percaya Ducati Akan Benarkan Saya Menang - Jorge Martin
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
11/27/20241 min read


SEJURUS Jorge Martin menandatangani kontrak bersama Aprilia pada pertengahan musim 2024, ramai yang beranggapan perjuangannya untuk bergelar juara dunia MotoGP sudah pun berakhir.
Begitupun, situasi berkenaan tidak berlaku, dengan Ducati terus memberi sokongan penuh kepada pelumba kelahiran Sepanyol itu sehingga penghujung musim dan akhirnya bergelar juara dunia dengan kelebihan 10 mata di depan pencabar utamanya, Francesco Bagnaia.
Menjadi pelumba pasukan satelit pertama dalam era MotoGP moden menjuarai gelaran dunia, Martin berterima kasih kepada pengeluar Itali itu atas peluang yang diberikan kepadanya.
"Kuncinya adalah Ducati. Maksud saya adalah sekalipun mereka tidak mahukan saya pada musim depan, mereka membenarkan saya bersaing dengan kelengkapan yang sama," kata Martin.
"Saya fikir Gigi Dall’Igna banyak meletakkan kepercayaan kepada saya sejak saya menyertai mereka dari Moto2. Begitupun dalam kehidupan ada perkara boleh berubah, dan... kerana itu saya tidak pernah tiba kepada mereka (pasukan kilang).
"Tetapi inilah kehidupan.
"Apa yang utama adalah mereka membenarkan saya (bersaing dengan sama rata), jadi saya amat berterima kasih kepada Claudio Domenicali (Ketua Pegawai Eksekutif Ducati) kerana tiada siapa dalam bilik ini (sidang media) saya fikir yang mereka akan membenarkan saya (untuk menang).
"Mereka membenarkan saya bertarung, jadi saya amat bersyukur."
Sekalipun mempunyai kemenangan dalam perlumbaan Grand Prix (GP) dan Sprint yang jauh lebih sedikit berbanding Bagnaia (3 kemenangan GP, 7 kemenangan Sprint), konsistensi menjadi punca kemenangan Martin apabila dia berdiri sebanyak 32 kali di atas podium dalam 40 perlumbaan (GP, Sprint).
Bagnaia dalam pada itu memenangi 11 perlumbaan GP dan 7 Sprint namun kegagalan mengutip mata dalam 8 perlumbaan (GP, Sprint) menyaksikannya terpaksa berpuas hati di tempat kedua.
