'RANCANGANNYA Nak Pimpin Perlumbaan Dari Awal Tapi...'
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
3/30/20251 min read


PEMENANG Perlumbaan Sprint Grand Prix Amerika Syarikat (AS), Marc Marquez mendedahkan rancangannya adalah untuk memimpin saingan di Austin dari awal hingga garisan penamat.
Tetapi ia tidak menjadi kenyataan apabila pelumba Ducati Lenovo itu dipintas dua pelumba - Pecco Bagnaia dan Alex Marquez di awal perlumbaan yang menyaksikannya turut berdepan situasi 'menakutkan'.
Begitupun, juara dunia lapan kali itu tampak seperti tidak begitu terkesan dengan apa yang terjadi malah serta merta bangkit merampas kembali posisi pendahulu dan meraih kemenangan ketiga Sprint dalam tiga perlumbaan musim ini.
"Saya rasa seperti 'slide' itu tidak akan berhenti," kata Marquez memetik laporan MotoGP.com. "Ia pusingan pertama yang sulit.
"Pecco menyerang saya pada selekoh pertama, kemudian saya membalasnya pada selekoh 3, kemudian saya cuba untuk membuka jurang, kerana saya ada kelajuan, tetapi saya berdepan situasi yang menakutkan ketika selekoh panjang.
"Saya mula memulas terotel dan kemudian saya mula tergelincir, tergelincir dan ia seperti tidak mahu berakhir. Mungkin saya terlalu merebahkan badan. Tetapi ya, ia detik yang menakutkan.
"Saya berkata, 'Ok, saya akan kalah...' Tetapi saya berjaya mengawalnya kembali dengan cara yang baik."
Marquez menjelaskan penting untuknya kembali memimpin perlumbaan secepat yang mungkin.
"Pada pusingan seterusnya saya menunggang dengan lebih lancar. Saya sudah pun membuka jurang dan sejak itu saya cuba mengawal keadaan," kata Marquez.
"Rancangannya adalah untuk memimpin perlumbaan sejak awal, membuka jurang satu saat dan mengawalnya. Aa saya cuba katakan adalah tak penting jika saya menang dengan jurang setengah saat atau tiga saat.
"Jadi apabila saya ada jurang satu saat, saya cuba mengawalnya dan saya melakukannya."
Kemenangan menyaksikan Marc ketika menjarakkan jurang mata sebagai pendahulu kepada 19 mata di depan adiknya, Alex Marquez dan 36 mata di depan Bagnaia.
