RANGKAIAN Perkhidmatan Aveta Care on Wheels (ACOW) Kini Lagi Luas!
Aveta Motor Malaysia menjelaskan peluasan rangkaian Aveta Care on Wheels (ACOW) dilakukan pada masa yang amat penting memandangkan ramalan peningkatan 20-30 peratus dalam permintaan bagi khidmat bantuan berikutan peningkatan perjalanan jarak jauh ketika musim cuti Lebaran
TERKINI
3/27/20261 min read


PENGELUAR motosikal tempatan, Aveta Motor Malaysia (Aveta) terus mengukuhkan komitmen terhadap pelanggan jenama itu dengan meluaskan program perkhidmatan bantuan bergerak, Aveta Care on Wheels (ACOW).
Inisiatif terbaharu itu bertujuan menyediakan khidmat selepas jualan yang lebih pantas, mudah diakses dan boleh dipercayai buat pemilik motosikal Aveta di seluruh Semenanjung Malaysia.
Aveta dalam satu kenyataan memaklumkan, langkah memperluaskan rangkaian perkhidmatan itu dilaksanakan tepat pada masanya berikutan jangkaan peningkatan permintaan terhadap bantuan kerosakan antara 20 hingga 30 peratus, susulan perjalanan jarak jauh sempena musim cuti perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
Pengembangan program ACOW itu membabitkan penambahan enam unit kenderaan perkhidmatan bergerak di Semenanjung Malaysia, yang disokong sepenuhnya oleh rakan pengedar Preferred Plus syarikat berkenaan.
Antara pengedar yang terbabit dalam inisiatif ini ialah KW Keat Wei Motor yang mengendalikan kawasan Kedah (Alor Setar ke utara) dan Perlis; CKT Motor (Kedah dari Sungai Petani ke selatan, Pulau Pinang dan Perak); serta NG Brothers Motor bagi wilayah selatan (Johor).
Menurut Aveta, pembabitan pengedar Preferred Plus terpilih ke dalam rangkaian khidmat bantuan bergerak itu membolehkan syarikat membawa perkhidmatan lepas jualan profesional dengan lebih dekat kepada pelanggan.
Langkah ini juga disokong oleh pasukan servis dalaman Aveta yang sedia berkhidmat di kawasan Wilayah Tengah, Melaka dan Pantai Timur, sekali gus menawarkan liputan bantuan yang lebih menyeluruh di seluruh negara.
Pengarah Urusan Kumpulan Aveta Motor Malaysia, Steven Lim, berkata pihaknya amat memahami bahawa proses pemilikan tidak terhenti setakat hari pembelian motosikal sahaja.
"Ia turut membabitkan keyakinan dan sokongan berterusan yang diterima oleh penunggang setiap hari selepas itu.
"Dengan menggabungkan kepakaran pasukan dalaman bersama kerjasama rakan pengedar yang dipercayai, Aveta bukan sahaja meluaskan rangkaian perkhidmatan, malah kami komited menambah baik pengalaman pemilikan pelanggan secara keseluruhannya," katanya.
Sebarang pertanyaan mengenai bantuan atau perkhidmatan kecemasan, pemilik motosikal Aveta boleh menghubungi talian khas Aveta Careline di 012-503 5409 bagi mendapatkan bantuan segera.





