RANGKUL Gelaran Dunia MotoGP 2026 Sasaran 'Wajib' Marc Marquez

Marc Marquez tampil cemerlang pada musim sulung bersama pasukan 'kilang' Ducati Lenovo apabila menamatkan saingan dengan menjulang gelaran dunia ke-9 dan dilakukan cukup dominan ketika kejuaraan dengan baki lima pusingan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/13/20261 min read

SELEPAS mengharungi salah satu kebangkitan paling hebat dalam sejarah MotoGP musim lalu, penyandang juara dunia MotoGP Marc Marquez mengakui tekanan kini di bahunya menjelang musim baharu 2026.

Pelumba asal Sepanyol berusia 32 tahun itu tampil cemerlang pada musim sulung bersama pasukan 'kilang' Ducati Lenovo apabila menamatkan saingan dengan menjulang gelaran dunia ke-9 dan dilakukan cukup dominan ketika kejuaraan dengan baki lima pusingan.

Tetapi rentak gemilangnya terganggu apabila mengalami kecederaan bahu selepas insiden bersama Marco Bezzecchi di Mandalika, sekali gus memaksanya menamatkan musim lebih awal.

Mengulas kempen 2026, Marquez mengakui ia akan menjadi sesuatu yang sangat menarik dengan kesemua pasukan membuat 'langkah' yang besar.

"Aprilia meningkat dengan banyak. KTM dengan Acosta. Honda, setiap masa makin hampir dan hampir, mereka melakukan langkah yang besar. Yamaha masih bergelut sedikit, tetapi mereka adalah Yamaha," kata Marquez dalam satu video di MotoGP.com.

"Daripada Alex, kamu boleh menjangkakan apa saja. Menamatkan saingan di tempat kedua kejuaraan, dia akan menjadi salah seorang pencabar gelaran.

"Kelajuan Pecco masih ada. Kadang kala dua bulan cukup untuk reset segala-galanya.

"Sasarannya adalah untuk bersaing merebut kejuaraan. Ia perlu menjadi sasaran, dan ia akan menjadi beban di bahu saya."

Marquez dijadual kembali ke trek pada ujian rasmi di Sepang, 3 hingga 5 Februari ini.