RAPIDO Lancar 3 Produk, Sesi Eksklusif Pasukan Moto3, Denssi Racing - Boe!
Pelancaran produk terbaharu mencerminkan misi Rapido untuk menjadi penghubung teknologi perlumbaan kepada pengguna jalanan, membawa inovasi kejuruteraan terus kepada penunggang harian
PELANCARAN
10/22/20252 min read


RAPIDO Malaysia sempena Grand Prix (GP) Malaysia 2025 hujung minggu ini mengambil kesempatan untuk melancarkan tiga produk baharunya - Rapido 628 CNC Casting Rim untuk Yamaha NVX V3, Rapido x CKJ Racing Ultra-Light Racing Pulley Pin dan Rapido x CKJ Racing Front Fork Spring.
Lebih menarik, majlis berkenaan turut dihadiri oleh pasukan tajaan Rapido di pentas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia - Denssi Racing - Boe yang ketika ini dipacu dua pelumba, Cormac Buchanan dan Ruche Moodley.
Menurut Rapido, ketiga-tiga produk baharu itu adalah komponen naik taraf berprestasi baharu yang direka khusus untuk kegunaan perlumbaan dan jalan raya.
Perincian adalah seperti berikut:
• Rapido 628 CNC Casting Rim untuk Yamaha NVX V3 - Rim sport "plug-and-play" pertama di Malaysia untuk kegunaan jalan raya tanpa ubah suai. Menggunakan teknologi tuangan CNC yang menawarkan ketahanan, tindak balas dan kestabilan tunggangan lebih baik.
• Rapido x CKJ Racing Ultra-Light Racing Pulley Pin - Dihasilkan bersama tuner profesional CKJ Racing. Pin pulley ultra ringan ini mengurangkan jisim putaran bagi meningkatkan respon pendikit dan pecutan. Sesuai untuk penunggang yang mahukan prestasi CVT lebih tajam.
• Rapido x CKJ Racing Front Fork Spring - Naik taraf sistem suspensi depan dengan kawalan rebound lebih baik dan kestabilan ketika mengambil selekoh agresif. Dihasilkan berasaskan maklum balas perlumbaan untuk keyakinan tunggangan maksimum.
Menurut syarikat itu, pelancaran produk terbaharu itu mencerminkan misi Rapido untuk menjadi penghubung teknologi perlumbaan kepada pengguna jalanan, membawa inovasi kejuruteraan terus kepada penunggang harian.
Dalam pada itu, pembabitan Rapido bersama BOE Motorsports dikatatakan sebagai langkah penting untuk membina kredibiliti kejuruteraan Malaysia di pentas dunia.
Sebagai info, pelumba kelahiran New Zealand, Cormac Buchanan dan pelumba asal Afrika Selatan, Ruche Moodley adalah bekas alumni Red Bull MotoGP Rookies Cup dan pernah berlumba bersama Hakim Danish Ramli di pentas berkenaan.
Ketika ditemui, Cormac mengakui tidak sabar untuk sekali lagi bersaing dengan Hakim Danish yang disifatkan memiliki kelebihan di Sepang dan mampu melakar sesuatu di laman sendiri.
Kepada yang tidak tahu, Rapido adalah jenama prestasi motosikal premium Malaysia di bawah Kee Kee Motor Sdn Bhd dan mereka menghasilkan komponen berprestasi tinggi untuk motosikal termasuk roda, sistem brek, suspensi dan aksesori enjin bagi moped, skuter dan motosikal berkuasa tinggi.
Produk Rapido kini diedarkan di serata Asia dan Eropah.







