RASA Dikhianati Bila Ducati Corse Pilih Marc Marquez - Valentino Rossi
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
8/9/20241 min read


RASA dikhianati. Itu dakwaan legenda MotoGP Itali, Valentino Rossi mengenai perasaan beberapa pelumba Ducati susulan pemilihan Marc Marquez sebagai pelumba Ducati Lenovo musim depan.
Ducati Corse membuat keputusan yang boleh dianggap mengejutkan pada Jun lalu apabila memilih Marquez untuk bergandingan dengan Francesco Bagnaia berbanding Jorge Martin yang disifatkan ramai sebagai calon lebih tepat.
Susulan pemilihan itu, Ducati bukan saja kehilangan khidmat Martin, namun beberapa pelumba berbakat termasuk Marco Bezzecchi, Enea Bastianini selain pasukan satelit rasminya, Pramac Racing.
"Saya masih belum dapat memahaminya," kata Rossi memetik laporan L'Equipe. "Ducati mempunyai sistem yang menarik, dengan piramid yang membenarkan pelumba muda mencipta kemajuan.
"Itu cara Pecco (Francesco Bagnaia) diperkenalkan, dan kedua-duanya Martin dan Marco Bezzecchi juga menunggunya. Dan secara tiba-tiba Ducati memutuskan untuk membawa masuk Marc.
"Adalah normal jika (pelumba) rasa dikhianati. Daripada satu perkara ke perkara yang lain mereka tidak lagi dihargai, jadi bukan pelik mereka menganggap pemilihan Marquez sebagai bahan jenaka."
Mengenai cabaran yang bakal dihadapi Pecco yang bakal bergandingan dengan Marquez musim depan, Rossi berkata tiada apa perlu dibuktikan anak buahnya itu.
"Pecco bersedia," kata Rossi. "Dia membuat perbezaan dan berjaya meningkatkan tahap persaingan.
"Dia adalah juara dunia dua kali dan bersaing untuk merebut gelaran ketiga, tetapi dari sudut pandangan saya, dia tidak memerlukan Marc dalam pasukan untuk membuktikan dia adalah nombor satu."
Susulan keputusan Ducati Corse itu, Martin dan Bezzecchi menjadikan Aprilia sebagai destinasinya musim depan dengan Bastianini menyertai KTM dan Pramac mengikat kontrak bersama Yamaha.
Begitupun, ketiadaan Pramac menaikkan 'pangkat' pasukan milik Rossi, VR46 yang diberikan status pasukan satelit rasmi termasuk menggunakan jentera berstatus kilang.
