RASA Lebih Bagus Berbanding Di Austria - Jorge Martin

Jentera Aprilia RS-GP 25 Jorge Martin tersadai tegak di batuan kerikil di Balaton Park tetapi penyandang juara dunia MotoGP itu tetap menjadi pelumba Aprilia terbaik pada Jumaat dengan catatan 0.001 saat (s) berbanding Fabio Quartararo yang memperoleh slot terus terakhir ke Q2

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/23/20251 min read

TIADA pelumba Aprilia berjaya mendapatkan slot terus ke Kelayakan 2 (Q2) Grand Prix (GP) Hungary 2025 selesai hari pertama, semalam namun bagi Jorge Martin, dia tetap satu kemajuan baginya.

Sekalipun berdepan masalah jentera yang menyaksikan Aprilia RS-GP 25 tersadai tegak di batuan kerikil di Balaton Park, penyandang juara dunia itu kekal menjadi pelumba Aprilia terbaik dengan catatan 0.001 saat (s) berbanding Fabio Quartararo yang memperoleh slot terus terakhir ke Q2.

"Sudah tentu saya mahu berada di Q2 tetapi saya sudah melakukan yang terbaik. Kami membuat langkahan yang besar," kata Martin kepada MotoGP.com.

"Perasaan hari ini menakjubkan. Kami tidak menyentuh pelarasan jentera, kami hanya memberi fokus yang lebih kepada kotak gear bagi litar baharu ini. Tetapi kami berada pada arah yang baik.

"Saya membuat peningkatan sedikit di bahagian depan dari sudut perasaan jadi saya boleh mengambil selekoh lebih baik sedikit, kemudian saya boleh pergi ke garisan yang lebih baik dan membuka minyak lebih awal sedikit.

"Kami mahu terus seperti ini. Dari sudut rentak kelajuan, saya berfikir kami jauh lebih kuat berbanding di Austria. Saya boleh menunggang dengan cara saya. Jadi ini adalah penting."

Martin begitupun turut mengakui belum cukup yakin untuk 'menghentak' jenteranya ke had.

"Saya tidak fikir yang kami ketinggalan terlalu jauh dari sudut rentak kelajuan, tetapi ketika melakukan catatan terpantas, saya masih belum mempunyai keyakinan untuk cuba melepasi had. Saya puas hati dengan keputusan... tidak lama lagi kami akan dapat bertarung."