RASA Macam Ketika Bersama Suzuki - Alex Rins

Pelumba Monster Yamaha, Alex Rins boleh dikatakan sedang mengharungi tempoh yang sukar tetapi prestasinya di Grand Prix (GP) Indonesia 2025 di Mandalika mengingatkannya kepada era kegemilangannya bersama Suzuki

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/6/20251 min read

PELUMBA Monster Yamaha, Alex Rins mengakui prestasinya di Grand Prix (2025) Indonesia 2025 mengingatkanya kepada ketika bersama pasukan Suzuki.

Sejak menyertai Yamaha selepas penarikan diri Suzuki daripada MotoGP, Rins mengharungi tempoh yang sukar tetapi prestasinya di Mandalika mengingatkannya kepada era kegemilangannya bersama satu lagi pengeluar Jepun itu.

Sekali pun menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10, ia adalah keputusan terbaik diraih pelumba kelahiran Sepanyol itu pada musim ini dan keputusan itu bukan lah tanda aras terbaik untuk menilai prestasinya.

Selepas mengharungi kempen kelayakan terbaik dengan memulakan perlumbaan di petak ke-4 - kelayakan terbaiknya sejak 2023 - Rins bersaing sengit di kedudukan podium sepanjang sebahagian besar perlumbaan 27 pusingan.

Malah dia sempat berada di kedudukan kedua sebelum prestasi tayar belakangnya mula merosot dalam lima pusingan terakhir, mengakibatkannya tergelincir ke kedudukan ke-10.

“Saya sangat gembira, bukan kerana keputusan perlumbaan, tapi kerana keseluruhan hujung minggu ini. Ia mengingatkan saya kepada zaman Suzuki, saya benar-benar menikmati tunggangan,” kata Rins memetik laporan Crash.net.

“Saya bertahan, saya memintas, saya berlumba dengan baik. Kami lakukan hujung minggu yang hebat.”

Rins dalam itu mengakui penggunaan tayar jenis soft di Mandalika berpotensi memberinya kesukaran.

"Saya cuba kawal sebaik mungkin, dan saya masih berada di kelompok depan sehingga lima pusingan terakhir,” katanya.

Bersama Suzuki, Rins meraih lima kemenangan antara 2017 hingga 2022. Kini, dia ketinggalan jauh 107 mata di belakang rakan sepasukan Fabio Quartararo dalam kedudukan keseluruhan, dan masa depannya bersama Yamaha untuk musim 2026 turut menjadi bahan spekulasi walaupun memiliki kontrak.

“Saya tak pernah berhenti percaya pada diri sendiri,” katanya. “Tapi ada orang sekeliling saya yang mula hilang kepercayaan. Mereka mula mempersoalkan kemampuan saya.”

Ditanya sama ada prestasi di Mandalika menjadi jawapan kepada pengkritik, Rins berkata, “Agak memuaskan. Tapi ini cuma satu hujung minggu. Kita tengok bagaimana ia berterusan.”