RASA Sakit Jorge Martin Masih Teruk

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/17/20251 min read

JORGE Martin menjelaskan dia sudah mula merasa semakin pulih akibat kemalangan di Grand Prix Qatar tetapi kesakitan yang dirasainya masih teruk.

Pelumba Aprilia itu sekali berdepan malang pada debutnya di MotoGP musim ini di Losail yang menyaksikannya berdepan beberapa kecederaan teruk di bahagian badan.

Penyandang juara dunia MotoGP itu sudah pun tersisih tiga pusingan awal di Thailand, Argentina dan Amerika Syarikat akibat kecederaan yang dialaminya ketika ujian pra-musim di Sepang diiukti kecederaan ketika latihan seminggu sebelum kempen 2025 bermula.

Pada penampilan rasmi sulungnya di Qatar, Martin menamatkan sesi kelayakan di petak ke-14 diikuti kedudukan ke-16 pada Perlumbaan Sprint.

Tetapi kemalangan ketika perlumbaan Grand Prix yang turut menyaksikannya dirempuh jentera Fabio Di Giannantonio, Martin disahkan mengalami kecederaan teruk apabila 11 tulang rusuknya patah selain masalah di bahagian paru-paru.

Aprilia sudah pun mengesahkan bekas pelumba Pramac Ducati itu tidak akan beraksi pada pusingan seterusnya di GP Sepanyol.

"Terima kasih tidak terhingga kepada semua orang yang menyokong saya. Ini adalah hari-hari yang sukar, tetapi saya mula untuk bergerak lebih sedikit dan merasa lebih baik, meskipun kesakitannya masih teruk," kata Martin.

"Saya mahu berterima kasih kepada Aprilia, peminat saya dan semua orang yang membantu saya. Saya akan terus berjuang untuk menjadi yang terkuat."

Martin ketika ini kekal di hospital di Doha, Qatar dengan Pengarah Perubatan MotoGP, Angel Charte menjelaskan pelumba itu memerlukan masa beberapa hari sebelum dapat pulang ke Eropah.

Laporan daripada motorsport.com mendakwa Martin berkemungkinan terpaksa berehat sekurang-kurangnya sehingga GP Austria pada Ogos tetapi masih belum ada kenyataan rasmi daripada Aprilia.