RASMI: Adam Norrodin Naik Pangkat Ke WorldSBK 2024

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/2/20231 min read

MALAYSIA kekal mempunyai wakil berlumba dalam kelas elit Kejuaraan Motosikal Dunia (WSBK), WorldSBK menerusi pengesahan Adam Norrodin sebagai pelumba pasukan PETRONAS MIE Racing Honda musim depan.

Perkembangan itu boleh dianggap melegakan selepas seorang lagi pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah sah tidak akan berlumba di kejuaraan berkenaan, musim depan.

Selain Adam, turut dinaikkan pangkat adalah pelumba Britain, Tarran Mackenzie.

Seperti diketahui, Adam dan Mackenzie adalah rakan sepasukan di PETRONAS MIE Racing Honda dalam kelas WorldSSP pada musim ini.

"Pertama sekali, saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Midori Moriwaki (Prinsipal PETRONAS MIE Racing Honda), kepada PETRONAS dan juga Honda," kata Adam.

"Ia satu keputusan yang besar untuk berlumba di perlumbaan WorldSBK tetapi ia adalah peluang yang hebat untuk saya dan sesuatu yang saya mahu lakukan sebelum ini.

"Kita semua tahu yang kejuaraan (WorldSBK) akan menjadi lebih kompetitif pada musim depan jadi ia akan menjadi cabaran yang besar, tetapi saya juga tahu yang saya akan berpeluang untuk belajar meningkat dengan banyak sebagai pelumba.

"Untuk mewakili PETRONAS dan negara saya Malaysia, ia satu penghargaan yang besar, dan saya benar-benar bersyukur atas peluang ini. Kini saya akan fokus untuk berlatih lebih gigih berbanding sebelum ini dan bersedia atas apa yang saya tahu akan menjadi tahun yang sukar namun cukup mengujakan. Saya amat gembira dan teruja."

Seperti diketahui, kempen sulung Adam di WorldSSP tidak begitu positif selepas dia tidak beraksi dalam tiga pusingan terakhir susulan kecederaan yang dihadapi di Perancis dan menamatkan kempen di tangga ke-25 keseluruhan.

Keputusan terbaik dicapai Adam adalah di Perlumbaan 2 WorldSSP di Rep Czech apabila dia menamatkan perlumbaan di tangga kelima.