RASMI: Alex Rins Milik Yamaha MotoGP Musim 2024
SUKAN PERMOTORAN 2 RODATULAR
8/2/20231 min read


ALEX Rins sah menyertai pasukan Yamaha untuk bergandingan bersama juara dunia 2021, Fabio Quartararo dalam kempen MotoGP musim depan.
Bergelar pemenang lima perlumbaan bersama Suzuki, Rins menyertai pasukan satelit LCR Honda musim ini selepas pasukan berpangkalan di Hamamatsu itu membuat kejutan dengan menarik diri daripada MotoGP sejurus musim 2023 berakhir.
Dan Rins berjaya membuat kejutan penuh sensasi apabila menamatkan kemarau kemenangan Honda di COTA, musim ini.
Tetapi, nasib jelas tidak menyebelahi pelumba kelahiran Sepanyol itu apabila dia mengalami kecederaan teruk akibat kemalangan di Mugello, Itali. Selain itu, Rins turut dikatakan kecewa dengan perkembangan di LCR.
Sekalipun memiliki kontrak selama dua tahun bersama HRC, difahamkan Rins mempunyai klausa penolakan jika ia membabitkan tawaran daripada pasukan utama.
Seperti Suzuki GSX-RR, jentera Yamaha M1 menggunakan enjin berkonfigurasi empat silinder sebaris berbanding V4 yang digunakan oleh Honda, Ducati, KTM dan Aprilia.
"Kami gembira yang Alex menyertai pasukan Yamaha dan kami mengalu-alukan kehadirannya di Yamaha MotoGP," kata Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis.
"Kami menjangkakan Alex akan menjadi aset yang besar. Dia mempunyai pengalaman yang luas sebagai pelumba MotoGP dan terkenal sebagai pelumba berbakat semula jadi dan pernah memenangi beberapa perlumbaan MotoGP.
"Dia sudah mempunyai pengalaman dengan dua pengeluar berbeza di MotoGP dan sudah menunggang jentera yang mempunyai karekter yang sama dengan Yamaha YZR-M1, yang sepatutnya membantu dia mengadaptasi dengan jentera kami dengan pantas.
"Kemenangannya di COTA awal tahun ini membuktikan kepantasannya, keinginan tinggi dan azamnya yang kuat untuk berjaya."
Tetapi difahamkan, perjanjian Rins dan Yamaha hanya membabitkan tempoh semusim.
Penukaran Rins ke Yamaha musim depan turut menyaksikan pelumba berusia 27 tahun itu menyertai Jack Miller dan Maverick Vinales untuk memburu gelaran pelumba pertama memenangi perlumbaan MotoGP dengan tiga pasukan berbeza.
Apapun, kerja berat pasti menanti Rins selepas Yamaha ketika ini dilihat 'jauh' ketinggalan berbanding pencabar yang lain di MotoGP malah berada di belakang Honda dalam carta kedudukan pengeluar.
Kali terakhir Yamaha merasai nikmat kemenangan adalah di GP Jerman 2022 menerusi Quartararo.
Sementara itu, Franco Morbidelli dijangka akan menyertai pasukan satelit Ducati musim depan.
