RASMI: Marc Marquez Sertai Ducati Lenovo 2025

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/5/20241 min read

MARC Marquez akhirnya dinamakan sebagai pelumba pasukan 'kilang' Ducati Lenovo sekaligus menamatkan teka-teki siapa bakal bergandingan dengan penyandang juara dunia MotoGP, Francesco Bagnaia musim depan.

Berdasarkan perjanjian, juara dunia lapan kali itu menandatangani kontrak selama dua tahun bersama Ducati Corse bagi musim 2025 dan 2026.

Marquez pada musim ini beraksi bersama pasukan satelit Ducati, Gresini Racing menggunakan jentera spesifikasi 2023 selepas membuat kejutan dengan meninggalkan pasukan Repsol Honda musim lalu.

Selepas tujuh pusingan, pelumba kelahiran Sepanyol itu masih belum memenangi sebarang perlumbaan untuk Ducati namun tetap diletakkan sebagai pilihan berbanding pendahulu kejuaraan, Jorge Martin.

Martin yang sebelum ini diletakkan sebagai pilihan utama untuk tempat di Ducati Lenovo turut mencipta sensasi apabila melengkapkan perpindahannya menyertai Aprilia.

Ducati sebelum ini dikatakan memang merancang untuk memberikan tempat berkenaan kepada Martin namun keengganan Marquez menyertai pasukan Pramac Ducati - pasukan satelit yang menggunakan jentera 'kilang' membuatkan pengeluar Itali itu membuat 'Pusingan U'.

Kepada yang belum mengenali Marquez, pelumba berusia 31 tahun itu berjaya merangkul enam gelaran MotoGP iaitu pada musim 2013, 2014, 2016, 2017, 2018 dan 2019 bersama Honda.

Episod malangnya bermula di Jerez 2020 apabila mengalami kemalangan sebelum pengeluar Jepun itu berdepan masalah prestasi.

Sepanjang tujuh pusingan beraksi bersama Gresini Ducati, Marquez sudah menghadiahkan tiga kedudukan podium (Perlumbaan MotoGP) buat pasukan itu bersama jentera GP23.

Ketika ini, Marquez menghuni tangga ketiga keseluruhan carta pelumba MotoGP 2024 ketinggalan 35 mata di belakang pendahulu Martin. Bagnaia di tangga kedua ketinggalan 18 mata di belakang Martin.

Dengan pengesahan Marquez ke Ducati Lenovo, seorang lagi pelumba pasukan itu Enea Bastianini dilaporkan akan menyertai pasukan satelit KTM, GasGas Tech3.