RASMI, Motosikal Baharu 150 cc Ke Atas Wajib Ada ABS Mula 1 Jan 2025

TERKINI

9/2/20241 min read

SEPERTI dijangka, kerajaan hari ini memutuskan semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150 cc ke atas wajib memiliki sistem Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) bermula 1 Januari tahun depan.

Perkembangan itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu majlis di Putrajaya, hari ini mengikuti pengumuman oleh Miros sebelum ini.

Antara sebab keputusan itu diambil adalah ia sebahagian daripada insiatif kerajaan untuk menangani kes kemalangan jalan raya khususnya membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Berdasarkan dapatan yang diperoleh kerajaan, dikatakan 65 peratus daripada jumlah kes kemalangan maut di jalan raya tahun lalu adalah membabitkan penunggang motosikal.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula, ABS dikatakan boleh mengurangkan kadar kes kematian dalam kalangan pengguna motosikal pada kadar 31 peratus.

Dan menurut Zahid, Timbalan Perdana Menteri percaya inisiatif ini boleh mengurangkan kematian yang berpunca daripada nahas jalan raya di Malaysia.

Apa yang menariknya, Zahid turut berharap inisiatif yang diambil Malaysia ini akan mendorong negara-negara Asean lain mengikuti pendekatan sama dan menjadikan motosikal lebih selamat di kawasan serantau.

Sebagai info, pelan untuk menjadikan ABS sebagai komponen teknologi standard untuk motosikal kapasiti 150 cc ke atas sudah bermula sekitar dua tahun lalu dan mendapat reaksi ramai pihak.