RASMI, Perlumbaan MotoGP GP Australia 2026 Batal!

Keputusan sukar itu terpaksa diambil pihak penganjur GP Australia 2026 selepas faktor cuaca menjejaskan tahap penglihatan, sekali gus menghalang operasi helikopter perubatan yang menjadi syarat wajib keselamatan perlumbaan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/25/20261 min read

PENAMAT yang tidak diinginkan berlaku pada Grand Prix (GP) Australia 2026 apabila perlumbaan terakhir kelas perdana MotoGP di Litar Phillip Island secara rasminya dibatalkan berikutan keadaan cuaca buruk.

Keputusan sukar itu terpaksa diambil pihak penganjur selepas faktor cuaca menjejaskan tahap penglihatan, sekali gus menghalang operasi helikopter perubatan yang menjadi syarat wajib keselamatan perlumbaan.

"Berikutan jarak penglihatan terhad yang menjejaskan operasi helikopter perubatan di Grand Prix Red Bull Australia, perlumbaan MotoGP terpaksa dibatalkan," kata MotoGP dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Begitupun sebagai tanda penghormatan dan perpisahan kepada litar ikonik itu sebelum acara berprestij berkenaan berpindah ke Adelaide, pelumba MotoGP akan melakukan satu pusingan di belakang kereta keselamatan.

Kumpulan pelumba ini kemudiannya akan berhenti di laluan lurus utama bagi menyantuni dan mengucapkan selamat tinggal kepada peminat yang setia menunggu dalam keadaan basah, dengan laluan pit dibuka pada jam 4 petang waktu tempatan untuk sesi berkenaan.

Terdahulu, keutamaan awal pihak penganjur adalah untuk menyelamatkan perlumbaan kelas perdana, namun kelewatan berterusan bermula jam 12.30 tengah hari turut memaksa perlumbaan kelas Moto2 dan Moto3 dibatalkan.