RASMI: Tiada Grand Prix Kazakhstan 2024, Misano Jadi Pengganti

TERKINI

7/15/20241 min read

SELEPAS sekian lama menjadi teka-teki, Grand Prix (GP) Kazakhstan secara rasmi dikeluarkan daripada kalendar MotoGP musim 2024.

Mengikut jadual asal, GP Kazakhstan 2024 yang dirancang berlangsung di litar serba baharu Sokol sepatutnya dianjurkan pada Jun lalu tetapi terpaksa ditangguhkan susulan bencana banjir.

Dan berikutan pembatalan GP India 2024, ia dijangka dapat mengisi lompong yang ditinggalkan pada 20 hingga 22 September sebelum pembatalannya diumumkan secara rasmi oleh penganjur.

Mengikut kenyataan bersama FIM, IRTA dan Dorna Sport, isu operasi dan logistik yang timbul susulan bencana banjir yang melandar rantau itu menyaksikan mustahil untuk menganjurkan perlumbaan MotoGP pada 2024.

Begitupun, kejuaraan MotoGP musim ini akan kekal kepada 20 pusingan dengan Misano akan menjadi venue pengganti.

Secara keseluruhan, Sokol menjadi venue ketiga yang digugurkan penganjurannya pada 2024 mengikuti Argentina dan India.

Pusingan 'gantian' di Misano akan dikenali sebagai Emilia Romagna MotoGP, mengulangi nama yang digunakan ketika pandemik sebelum ini.

Perubahan itu turut menyaksikan perlumbaan MotoGP berlangsung secara berturut-turut di Misano.

Selepas GP San Marino (Pusingan 13) yang dijadual pada 6 hingga 8 September, ia diikuti sesi ujian pada 9 September dengan GP Emilia Romagna (Pusingan 14) berlangsung pada 20 hingga 22 September sebelum kempen MotoGP 'terbang' ke Indonesia bagi Pusingan ke-15.

Sebelum ini, GP Hungary di Litar Balaton Park pada awalnya disenaraikan sebagai venue gantian bagi kempen MotoGP 2024 tetapi ia nampaknya tidak menjadi pilihan untuk menggantikan sebarang pusingan yang dibatalkan.