RAUL Fernandez Ketuai Dominasi 1-2 Trackhouse Aprilia Di Assen

Ia adalah kemenangan Sprint kedua Raul Fernandez pada musim ini dan menariknya diperoleh selepas menahan asakan hebat lewat rakan sepasukannya, Ai Ogura untuk melintasi garisan penamat dengan kelebihan tipis 0.362 saat

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

6/27/20261 min read

KURANG seminggu selepas bertarung dengan masalah apendiks, Raul Fernandez mempamerkan tunggangan cemerlang untuk menjuarai perlumbaan Sprint MotoGP Grand Prix (GP) Belanda 2026 yang turut melakar sejarak kemenangan 1-2 buat pasukan Trackhouse Aprilia.

Ia adalah kemenangan Sprint kedua Fernandez pada musim ini yang diperoleh selepas menahan asakan hebat lewat rakan sepasukannya, Ai Ogura untuk melintasi garisan penamat dengan kelebihan tipis 0.362 saat (s).

Kejayaan manis itu membolehkan Fernandez menebus kekecewaannya yang terlepas petak depan perlumbaan susulan pembatalan catatan masa dan mengulangi pencapaian gemilang yang diraihnya pada perlumbaan Sprint di Mugello sebelum ini.

Pada aksi 13 pusingan yang berlangsung mendebarkan itu, Fernandez berjaya merampas kedudukan daripada pelumba pasukan 'kilang' Aprilia, Jorge Martin pada penghujung pusingan ketiga di Selekoh 16 dan mengekalkan momentum tersebut sehingga garisan penamat.

Tempat ketiga menjadi milik pelumba VR46 Ducati, Fabio Di Giannantonio.

Gandingan Aprilia Racing, Marco Bezzecchi dan Martin bersaing agresif bagi merebut tempat ke-4 yang akhirnya dimenangi Bezzecchi sekali gus melebarkan penguasaannya selaku pendahulu kejuaraan dunia kepada 9 mata di hadapan Martin yang terpaksa berpuas hati di tempat ke-5 meskipun bermula di petak utama.

Dalam pada itu, pelumba sensasi Ducati Lenovo, Marc Marquez nampak bergelut di Assen apabila melintasi garisan penamat di tempat ke-7 sebelum kedudukannya dinaikkan ke tangga ke-6 selepas rakan sepasukannya, Pecco Bagnaia dikenakan penalti penurunan satu kedudukan akibat melanggar had litar di pada pusingan penamat.

Enea Bastianini muncul pelumba terbaik jentera KTM di tempat ke-8, manakala pelumba kilang KTM, Pedro Acosta mengutip mata terakhir di tempat ke-9 biarpun pada satu ketika tergelincir ke tangga ke-15 pada pusingan kedua akibat terbabas di Selekoh 7.

Fabio Quartararo muncul pelumba terbaik Yamaha namun gagal meraih sebarang mata selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-10.