RAUL Fernandez Tawan Silverstone

Kemenangan itu melengkapkan hujung minggu gemilang buat Aprilia di Silverstone selepas pengeluar dari Itali itu turut merangkul petak pertama dan menjuarai perlumbaan Sprint pada Sabtu menerusi pelumba pasukan 'kilang', Jorge Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/8/20261 min read

JAGUH Trackhouse Aprilia, Raul Fernandez mempamerkan tunggangan mengujakan apabila mendominasi perlumbaan Grand Prix (GP) British 2026 yang juga kemenangan kedua kariernya dalam kempen MotoGP.

Kemenangan itu melengkapkan hujung minggu gemilang buat Aprilia di Silverstone selepas pengeluar dari Itali itu turut merangkul petak pertama dan menjuarai perlumbaan Sprint pada Sabtu menerusi pelumba pasukan 'kilang', Jorge Martin.

Fernandez yang terjatuh pada aksi Sprint, pantas menebus kekecewaan itu apabila memintas Martin di selekoh pertama pusingan pembukaan selepas pelumba Sepanyol itu berdepan masalah peranti ketinggian pada jenteranya.

Kesilapan teknikal itu membolehkan Fernandez terus memecut meninggalkan pencabarnya, malah pada satu ketika dia berjaya membuka jurang selesa lebih 4 saat sebelum melintasi garisan penamat dengan kelebihan 2.5 saat (s).

Martin, yang bangkit memintas Marco Bezzecchi pada pusingan ke-9 tidak berjaya memberi tekanan sebenar kepada pelumba Fernandez itu dalam perebutan gelaran juara.

Meskiipun terpaksa berpuas hati di tempat kedua, keputusan itu sudah cukup buat Martin untuk terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu kejuaraan dengan kelebihan 31 mata mengatasi rakan sepasukannya, Bezzecchi.

Bezzecchi pula terpaksa mengerahkan seluruh tenaga jenteranya untuk menahan asakan sengit pelumba Gresini, Alex Marquez bagi melengkapkan kedudukan podium di tempat ke-3.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi juara dunia 9 kali, Marc Marquez yang ketinggalan hampir 10s untuk menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh, sekali gus menyaksikan jurang matanya dalam kejuaraan kini melebar kepada 40 mata.

Cabaran perebutan gelaran buat Ai Ogura turut menerima tamparan hebat apabila dia terjatuh pada pusingan ke-10 ketika berada di kedudukan ketujuh sekali gus jatuh ke tangga ketiga dalam kedudukan keseluruhan dengan defisit 37 mata.

Perlumbaan 20 pusingan itu turut dicemari senarai panjang insiden kemalangan yang menyaksikan Pecco Bagnaia, Enea Bastianini, Alex Rins, dan Joan Mir terpaksa berputih mata gagal menamatkan saingan.