RAZLAN Nafi Dakwaan CryptoDATA, Hutang RNF Masih Belum Dijelaskan!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/6/20241 min read

BEKAS Prinsipal pasukan MotoGP RNF Aprilia Racing, Datuk Razlan Razali menafikan laporan 'orang kuat' CryptoDATA, baru-baru ini yang mendakwa firma Romania sudah menyelesaikan segala hutang pasukan itu.

CryptoDATA memetik laporan Crash.net ketika ditanya mengenai situasi kewangan membabitkan RNF musim lalu menjelaskan syarikat itu sudah membayar hutang pasukan itu selepas membeli majoriti pegangan saham RNF daripada Razlan, dakwa Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ovidiu Toma.

Begitupun, Razlan ketika ditemui dalam satu majlis, baru-baru ini menafikan perkara berkenaan.

"Ya, saya juga melihat laporan itu (Crash.net) tetapi apa yang saya boleh katakan adalah dakwaan itu (CryptoDATA) adalah tak benar," kata Razlan.

"Buktinya, sehingga sekarang masih ada pembekal termasuk dari Malaysia menghubungi saya agar pembayaran dapat dibuat.

"Selain itu, bukan saja para pembekal, malah turut terkesan teruk adalah staf yang tidak lagi bersama pasukan. Mereka bukan saja tidak menjelaskan pembayaran kepada kami, malah juga Dorna termasuk berkaitan penajaan dan sebagainya," kata Razlan yang berkata pihaknya akan terus berusaha untuk menyelesaikan perkara berkenaan.

Toma yang baru-baru ini turut mengheret pemilik MotoGP, Dorna ke mahkamah berkata mereka melabur 9 juta Euro (RM 46.3 juta) kepada RNF.

"Apabila kami melabur kepada pasukan RNF, kami membayar segala hutang dari tahun 2022 dan membeli majoriti pegangan saham daripada Razlan," kata Toma memetik laporan berkenaan.

"Kami mengekalkan Razlan sebagai Prinsipal pasukan dan bersetuju atas bajet bagi 2023.

"Bajet yang sudah dipersetujui adalah RM 11 juta Euro (RM 56.6 juta) untuk dibelanjakan sepanjang tahun. Razlan terlebih belanja, termasuk kira-kira 2 juta Euro (RM 10.2 juta) yang kami tidak pernah bersetuju.

"Segala kos yang ditanggung oleh saya pada tahun lalu adalah lebih 9 juta Euro (RM 46.3 juta). Benar, pada dua pusingan terakhir, saya memberhentikan pembayaran keapda pasukan, kerana perbelanjaan kami mencapai 13.5 juta Euro (RM 69.5 juta) untuk musim itu.

"Tetapi apabila kami menamatkan musim, kami berdepan tunggakan gaji dan berkemungkinan 30-40,000 euro (RM 154,431 - RM 205,909) tunggakan kepada pembekal, yang kami bayar selepas Valencia. Tiada siapa boleh menafikan atau berdepan yang kami tidak pernah membayar pembekal kami."